suria

Barisan Baru Kepimpinan FAM Tekad Naikkan Imej Bola Sepak Negara

KUALA LUMPUR: Barisan muka baru yang dipilih untuk memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010/2014 berazam untuk bekerja keras bagi memajukan sukan tersebut dan menjadikannya sebagai agenda nasional.

Naib presiden FAM yang baru, Datuk Subahan Kamal berkata tanggungjawab yang bakal dipikul olehnya adalah satu tugas yang berat namun beliau bersedia untuk menjalankan tugas tersebut.

"Walaupun masih baru, saya sedia menerima tugas ini untuk bekerja keras membangunkan FAM dan bukannya bekerja sambil mencari publisiti," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Subahan yang juga penolong pengurus skuad kebangsaan yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Laos pada tahun lepas berkata untuk membangunkan sukan bola sepak semua pihak perlu memberi kerjasama agar ia dapat dilakukan secara menyeluruh dan berkesan.

Salah seorang daripada penyandang kerusi jawatankuasa eksekutif FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata misinya adalah untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan FAM yang menjadi badan induk kepada sukan bola sepak di negara ini.

Astaman berkata usaha untuk mencari sumber kewangan baru perlu diperhebatkan lagi agar FAM mempunyai dana yang mencukupi bagi membantu ahli gabungan khususnya persatuan bola sepak negeri yang menghadapi masalah kewangan.

"Sekiranya kita dapat membantu mereka (ahli gabungan) dari segi kewangan..mereka dapat memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan prestasi dan tidak perlu risau lagi dengan masalah kewangan," katanya.

Beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) itu berkata tanpa sumber kewangan yang kukuh, agak mustahil untuk sebuah badan sukan itu bergerak maju.

Sementara itu, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden berkata beliau tidak rasa sedih walaupun tewas kerana merasakan telah melakukan yang terbaik untuk arena bola sepak.

Redzuan berkata beliau yakin dengan kebolehan barisan baru kepimpinan FAM dan bersedia untuk menyumbangkan tenaga dan pengalamannya sekiranya diperlukan.

"Walaupun tidak berada dalam barisan kepimpinan FAM...hati saya masih lagi mencintai bola sepak dan ianya tidak dapat dipisahkan kerana telah menjadi darah dan daging saya," katanya yang mula memegang jawatan timbalan presiden sejak 2002.

Bekas naib presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh yang gagal merebut kerusi timbalan presiden pada pemilihan kali ini berkata beliau tidak kecewa dengan kekalahan tersebut sebaliknya bersedia untuk bekerjasama dengan barisan kepimpinan baru.

"Selepas ini saya akan memberi sepenuh perhatian kepada pembangunan skuad bola sepak Terengganu agar setanding dengan pasukan lain," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Terengganu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM bagi penggal 2007-2010. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain