suria

Cameroon Terpaksa Pulang Lebih Awal

CAMEROON menjadi pasukan pertama tersingkir daripada saingan Piala Dunia selepas tewas 1-2 kepada Denmark walaupun berada di depan seawal minit ke-10 dan mempamerkan permainan menakjubkan pada aksi peringkat Kumpulan E, awal pagi tadi.

Kekalahan itu memastikan Belanda mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Jepun 1-0 pada perlawanan berasingan.

Namun Cameroon tiada berpeluang untuk mengiringi pasukan lain ekoran kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan awal.

"Saya tidak akan meletak jawatan," kata Pengurus Cameroon, Paul Le Guen.

Selepas tewas kepada Jepun, Le Guen membawa masuk dua pemain berpengalaman, Alexandre Song dan Geremi ke dalam skuad utama termasuk menurunkan penyerang Achille Emana manakala Eric Choupo-Moting dan Joel Matip sekadar memanaskan bangku simpanan.

Keputusannya menurunkan beberapa pemain berpengalaman menampakkan hasil pada minit ke-10 apabila penyerang Samuel Eto'o merembat masuk hantaran Achille Webo.

Denmark kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi hantaran Dennis Rommedahl yang disempurnakan penyerang Nicklas Bendtner.

Kedua-dua pasukan mempunyai beberapa peluang terbaik sebelum Rommedahl menjaringkan gol kemenangan Denmark pada minit ke-61.

Denmark boleh melangkah ke pusingan kedua jika mereka menundukkan Jepun pada perlawanan seterusnya.

Artikel Lain