suria

Isu Dana Kandungan Digital dan kebajikan artis antara topik hangat ‘town hall’ bersama menteri

Fahmi mendengar keluhan ramai penggiat seni.

ISU pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) menjadi topik hangat dibangkitkan dalam sesi Town Hall Industri Kreatif Bersama Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menjawab mengenai isu berkenaan, Fahmi meminta pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Kebangsaan (Finas) agar menyenaraikan semua syarikat produksi yang telah menerima dana tersebut.

Ia sekaligus menjawab isu tanggapan sesetengah pihak berkaitan pemberian DKD yang didakwa diberikan kepada produksi sama.

town hall finas 1

Sesi town hall bersama menteri yang membincang isu industri kreatif.

“Kita (kementerian) memang mahu mengekang perkara ini dari terus berlaku. Saya tidak boleh bercakap tentang apa yang dilakukan sebelum ini, tapi lebih kepada apa yang akan dilakukan.

“Jadi pihak saya telah minta Finas untuk senaraikan semua penerima dana. Mungkin boleh dipaparkan dalam laman web supaya lebih telus.

“Kadang-kala kita juga perlu memberikan (dana) kepada produksi baru dengan idea yang lebih baik. Kita perlu ambil risiko dan Finas perlu fikirkan sesuatu yang berbeza,” katanya.

ARTITEL BERKAITAN: Fahmi Fadzil bakal ambil tindakan individu jual semula tiket Coldplay

ARTIKEL BERKAITAN: Finas tak lepas tangan, hantar surat teguran kepada penerbit filem ‘Pulau’

Fahmi memberi respon mengenai isu itu ketika sesi soal jawab bersama penggiat seni yang turut disertai panel iaitu Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Bukan sahaja isu DKD, hal berkaitan kebajikan penggiat seni turut menarik perhatian apabila Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) iaitu Zed Zaidi membangkitkan mengenai perkara itu.

Menjawab perkara itu, Fahmi menegaskan isu kebajikan anak seni juga harus di ambil serius dan satu rang undang-undang berkaitan perlu dirangka secepat mungkin.

Kalau perlu diteliti, bukan hanya tabung kebajikan sahaja harus diwujudkan tetapi juga rang undang-undang baru

FAHMI FADZIL

MENTERI KOMUNIKASI DAN DIGITAL

“Lembaga pengarah sedang mengkaji hal tersebut. Saya sendiri minta ia disegerakan.

“Kalau perlu diteliti, bukan hanya tabung kebajikan sahaja harus diwujudkan tetapi juga rang undang-undang baru,” jelasnya.

Dalam masa sama, menjelaskan hal berkaitan pengutan cukai perfileman, Fahmi memberitahu ia terletak di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri dan dia sedia bertemu menteri terbabit bagi menyelesaikan isu berkenaan.

town hall finas 2

Antara penggiat seni yang tampil meluahkan pendapat.

Sesi town hall berkenaan hangat apabila lebih 20 penggiat seni yang rata-rata mewakili syarikat produksi menyuarakan pendapat mereka.

Antara isu lain yang dibangkitkan adalah sesi saringan perolehan (pitching) yang sering kali ditolak oleh panel penjurian.

Secara keseluruhnya sesi berkenaan hanya membincangkan mengenai DKD yang telah dimulakan oleh moderator iaitu pengacara Naz Rahman.

Tidak dapat menjawab semua persoalan yang diutarakan, Fahmi meminta mana-mana pihak yang mahukan penjelasan lanjut bertemu dengannya atau Finas bagi mengadakan perbincangan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain