suria

Menteri gesa Awesome TV selesai hutang tertunggak, arah SKMM terus pantau

Fahmi harap isu hutang Awesome TV dapat diselesaikan secara baik

MENTERI Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil menggesa stesen Awesome TV segera menyelesaikan isu bayaran tertunggak seperti mana yang disuarakan banyak pihak sebelum ini.

Fahmi ketika ditemui juga berharap perkara terbabit dapat diselesaikan secara baik tanpa melibatkan penguatkuasaan undang-undang.

“Saya gesa pihak Awesome TV segera selesaikan isu ini.

awesome tv 1

Awesome TV diminta segerakan bayar tunggakan.

“Saya faham ada yang mengemukakan tindakan sivil, tetapi saya harap pihak-pihak terlibat dapat duduk semeja dan berbincang.

“Kalau dibincang secara baik, semua akan dapat manfaat,” katanya kepada pemberita.

Fahmi diminta mengulas isu terbabit ketika ditemui selepas Sesi Town Hall Industri Kreatif Bersama Menteri yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Isnin.

Sesi ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dihadiri pemimpin-pemimpin persatuan seni dan juga mereka yang terlibat dalam industri hiburan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Norlia Ghani, Azrel Ismail diminta mohon maaf, Awesome TV tiada kena mengena isu bayaran tertunggak

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tak bayar hutang produser, Finas akan jumpa Awesome TV mahu selesai masalah

Dalam masa sama menurutnya pihak Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) yang sebagai pengeluar lesen diminta untuk memantau beberapa perkara.

“Kita dapati pihak Awsome TV telah melanggar syarat perlesenan. Saya sendiri telah mengadakan pertemuan dengan mereka pada 15 Mei dan minta segerakan isu tunggakan.

“Saya juga minta SKMM terus memantau beberapa perkara dan isu ini perlu disegerakan,” ujarnya.

Saya faham ada yang mengemukakan tindakan sivil, tetapi saya harap pihak-pihak terlibat dapat duduk semeja dan berbincang

FAHMI FADZIL

MENTERI KOMUNIKASI DAN DIGITAL

Tambah Fahmi isu yang berlaku turut memberi kesan kepada agensi di bawah kementeriannya iaitu My Creative Venture yang bertindak memberi dana kepada produksi.

“Isu ini sangat penting. My Creative Venture mengadu sejumlah produksi telah menerima dana untuk menghasilkan kandungan.

“Isu ini memberi kesan terhadap pinjaman yang telah dibuat. Saya juga telah minta maklumat terperinci,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain