suria

Siti Nurhaliza mahu Aafiyah membesar seperti kanak-kanak lain, tiada sikap ‘demand’

Siti harap apabila anaknya tidak mempunyai sikap 'demand' apabila sudah dewasa.

SERING mencuri tempuan netizen di laman sosial, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, dia hanya berkongsi video Siti Aafiyah pada waktu tertentu sahaja.

Tambah Siti, 42, dia mahu anak perempuannya itu mempunyai privasi dan membesar seperti kanak-kanak lain tanpa sebarang kelebihan sebagai anak selebriti.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza kongsi dugaan hamil anak kedua, akui jarang masuk dapur - “Saya tak boleh bau minyak, bawang goreng... siapa alami saja faham”

Aafiyah baharu saja menyambung ulang tahun kelahiran ke-3 pada 19 Mac lalu.

"Sebagai anak seorang selebriti, sudah tentu dapat perhatian. Itu terjadi kepada semua anak selebriti. Ada yang suka tengok keletah Aafiyah... jadi, saya akan kongsikan pada waktu tertentu.

"Tapi kalau boleh saya nak dia membesar seperti kanak-kanak lain juga. Tak ada kelebihan apa pun dan berharap sampai ke besar dia tidak mempunyai sikap 'demand'.

"Biarlah dia menjalani kehidupan seperti biasa dan mempunyai kawan. Saya nak dia dia membesar seperti saya dahulu yang suka main lumpur. Cuma bezanya dia anak selebriti, itu saya tak boleh lari dari kenyataan," katanya kepada mStar.

Pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin itu ditemui ketika majlis pelancaran produk minuman kesihatan Beaukids Aafiyah di Skyglass, Cyberjaya baru-baru ini.

Jadi, saya juga mahu mendedahkan ilmu dan pengalaman ketika Aafiyah masih kecil.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Aafiyah yang kini berusia tiga tahun merupakan duta kecil bagi produk tersebut yang dikeluarkan oleh syarikat milik Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa iaitu CTDK Holdings Sdn Bhd.

Dalam pada itu, Siti memberitahu dengan wujudnya produk minuman kanak-kanak itu, Aafiyah akan mempelajari dan mewarisi empayar perniagaan sedia ada.

Bagaimanapun, Siti yang kini menanti hari melahirkan cahaya mata kedua berkata, dia dan suami tidak mempunyai perancangan untuk menjadikan Aafiyah sebagai duta bagi produk syarikat luar.

"Selain tahu ibunya seorang penyanyi, saya juga nak Aafiyah sambung legasi ibu dan ayahnya dalam bidang perniagaan. Sebab saya pun dari kecil lagi sudah berniaga kuih-muih.

Siti dan suami mahu anak mewarisi empayar perniagaan sedia ada.

"Jadi, saya juga mahu mendedahkan ilmu dan pengalaman ketika Aafiyah masih kecil. Untuk buat masa kini, Aafiyah duta kecil produk minuman kesihatan dibawah syarikat CTDK Holdings Sdn Bhd.

"Kami belum ada memikirkan perancangan untuk dia menjadi duta produk syarikat lain sebab keutamaan dia untuk kami sahaja," ujarnya.

Siti Nurhaliza berkahwin dengan usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali Datuk K pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan.

Selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun. Pasangan ini bakal menimang cahaya mata kedua pada April ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain