suria

Siti Nurhaliza kongsi dugaan hamil anak kedua, akui jarang masuk dapur - “Saya tak boleh bau minyak, bawang goreng... siapa alami saja faham”

Siti Nurhaliza akui lebih cepat penat dan berdepan banyak alahan sepanjang kehamilan kedua ini.

BAKAL menimang cahaya mata lelaki pada April depan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata proses kehamilan kedua ini lebih mencabar berbanding sebelumnya.

Meskipun kandungan sudah memasuki trimester ketiga, Siti, 42, berkata dia masih lagi berdepan dengan beberapa alahan ibu hamil.

"Ada perbezaan yang saya rasa untuk kehamilan kedua ini, lebih cepat penat... boleh dikatakan banyak simptom dekat kandungan kedua ini yang saya rasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza bakal timang anak lelaki, pilih nama bermula Muhammad A - “Hamil kali ini tak boleh makan pedas”

"Semasa mengandungkan Aafiyah dulu pengalaman pertama, jadi kekuatan itu lain sikit. Ramai orang kata baby boy perut lebih besar, ya saya nampak lebih besar berbanding Aafiyah dulu.

"Perut pun ada berat sikit tapi Alhamdullillah semuanya sihat. Inilah pengorbanan seorang ibu, jadi saya lalui dengan reda dan tenang sahaja," katanya.



Siti akui kandungan kedua lebih mencabar kerana mudah rasa penat.

Siti berkongsi mengenai perkara itu semasa sesi memperkenalkan produk eksklusif Vantage Siti Series 2021 bersama GoShop yang diadakan secara maya pada Rabu.

Beliau memperkenalkan enam set kelengkapan dapur merangkumi air fryer dan pressure cooker, periuk, kuali serta set pinggan mangkuk.

Istimewanya, penyanyi lagu Kuasa Cintamu ini akan bersiaran secara langsung di saluran GoShop, pukul 9 pagi, 7 Mac ini.

Sepanjang kehamilan saya akui jarang masuk dapur sebab saya tak boleh bau minyak, bau bawang goreng... siapa yang alami macam saya akan faham

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Berkongsi mengenai kandungannya lagi, Siti berkata sejak hamil dia jarang turun ke dapur kerana mengalami simptom loya dan mudah penat.

Malah, dia tidak boleh makan makanan pedas seperti biasa sepanjang tempoh kehamilannya ini.



Siti bersama suami dan anak mereka, Siti Aafiyah.

"Sepanjang kehamilan saya akui jarang masuk dapur sebab saya tak boleh bau minyak, bau bawang goreng... siapa yang alami macam saya akan faham.

"Tapi dah hujung-hujung trimester kedua saya masuk juga dapur, sediakan nasi untuk Aafiyah dan masak untuk suami jika dia teringin nak makan yang simple-simple saya sediakan.

"Dah masuk trimester ketiga ini simptom itu datang balik macam trimester pertama dulu, tak boleh nak makan pedas sangat. Tak tahulah pembawakan atau apa, cuba makan pedas tapi tak boleh telan," ujarnya.

Siti Nurhaliza berkahwin dengan usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali Datuk K pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan.

Selepas 11 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Siti Aafiyah yang kini berusia dua tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain