“Jangan negatif sangat otak tu” - Syifa Melvin tiada niat menunjuk-nunjuk bacaan doa - Hiburan | mStar

“Jangan negatif sangat otak tu” - Syifa Melvin tiada niat menunjuk-nunjuk bacaan doa

Syifa tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk dengan memuat naik doa di laman Instagram.

PELAKON Syifa Melvin menjelaskan dia tiada niat untuk menunjuk-nunjuk dengan memuat naik doa di laman Instagramnya.

Syifa atau Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 25, berkata dia berkongsi posting tersebut kerana tidak mampu untuk membalas beribu kiriman doa daripada pengikut di laman sosial.

"Tujuan posting doa di feed tu bukan niat menunjuk tapi beribu DM minta doa disampaikan di Haram, Syira ni jenis cepat rasa bersalah kalau tak buat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sedia terima kecaman tapi jangan sentuh keluarga” - Syifa Melvin


Syifa menjelaskan tujuan dia memuat naik doa di laman Instagram.

"Tak terdaya nak balas semua tapi dengan posting/kapsyen begitu secara automatik kita baca dan mendoakan untuk diri sendiri juga. Cuba jangan negatif sangat otak tu," katanya.

Pelakon drama #SisCuba itu menjelaskan perkara tersebut menerusi laman Instastorynya selepas segelintir netizen mempertikaikan tindakannya memuat naik doa di Instagram.

Menerusi posting yang dimuat naik pada Ahad, Syifa memberitahu dia ada membaca mesej kiriman doa dan memohon kepada Allah supaya dapat makbulkan kesemuanya.

"Ya Rahman Ya Rahim, Kau kabulkanlah segala bentuk doa mereka yang membaca posting ini, kabulkanlah doa mereka yang inginkan zuriat. Yang mahukan kesembuhan berikan Shifa' pada diri sendiri mahupun ahli keluarga mereka.

Syifa berada di Tanah Suci sejak 11 Februari lalu.

"Keluarkan mereka dari sebarang kesulitan, ringankanlah jodoh mereka. Pertemukan mereka dengan jodoh yg terbaik, murahkanlah rezeki mereka supaya dapat mengeluarkan zakat dan membantu saudara yang lain.

"Jemputlah mereka ke Tanah suci ini dan menjadi DuyurfurRahman. Makbulkanlah semua doa diatas angkatlah Doa-doa ini kelangitMu," katanya.

Adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu berangkat untuk menunaikan umrah bersama saudara-maranya pada 11 Februari lalu. 

Syifa Melvin