Pelawak AR Badul alami serangan jantung, kini di IJN - Hiburan | mStar

Pelawak AR Badul alami serangan jantung, kini di IJN

Pelawak AR Badul menerima kunjungan Pengerusi Finas, Datuk Samsuni Mohd Nor (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Finas, Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar (kanan) di IJN pada Isnin.

PELAKON dan pelawak AR Badul dimasukkan ke Unit Rawatan Koronori (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) pada petang Ahad selepas mengadu sakit dada dan badannya berpuluh.

Isterinya Maizatul Osman berkata, suaminya menerima serangan jantung major iaitu agak serius namun berada dalam keadaan stabil.

"Dia mengadu sakit dada dan berpeluh peluh ketika sedang menyiapkan skrip, kemudian kami bawa ke klinik kira-kira pukul 4 petang Ahad dan dia terus dibawa ke IJN.

"Alhamdulillah keadaan dia stabil dan kini lebih baik dari semalam," ujarnya kepada mStar Online.


AR Badul kini berada dalam keadaan stabil. Foto ihsan Juita Johari

Tambah Maizatul, ini merupakan kali pertama AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Arman Ramlie, 70, diserang penyakit tersebut.

Katanya, buat masa ini mereka hanya mengikut prosedur rawatan yang disediakan pihak hospital.

"Doktor sudah memasang dua ring jantung (stent) bagi melebarkan salur darah. Ini kali pertama dia kena serangan jantung, buat masa sekarang kami hanya mengikut prosedur yang diaturkan pihak IJN," ujarnya.

AR Badul merupakan pelakon popular yang mula melibatkan diri dalam dunia perfileman pada tahun 1970-an dan aktif sehingga kini khususnya karya-karya komedi.

Antara filem lakonananya ialah Panglima Badol, Si Badol, Manis-Manis Sayang, Mr Os, Kembar Siam dan Senario The Movie.

Dia juga banyak berlakon drama televisyen tempatan.

Dalam pada itu Badul turut menerima kunjungan Pengerusi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Samsuni Mohd Nor dan Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Finas, Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar pada Isnin.

Agensi itu turut menghulurkan sumbangan kepada pelawak berkenaan.

AR Badul

Artikel Lain

Ratusan hadiri pengebumian Faziani