"Duit itu bekalan, kiriman orang ingin bersedekah di Makkah" - PU Amin hilang dompet, wang tunai RM3,000 - Hiburan | mStar

"Duit itu bekalan, kiriman orang ingin bersedekah di Makkah" - PU Amin hilang dompet, wang tunai RM3,000

PU Amin hilang wang tunai RM3,000 dan kad pengenalan dia, isteri dan anak-anak.

PENDAKWAH BEBAS dan Pencetus Ummah Amin berdepan dengan ujian apabila kehilangan dompet selepas tertinggal di tandas Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) Gambang pada pagi Ahad.

PU Amin berkata, dia kehilangan RM3,000 dan beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan dan kad tauliah pengajar agama.

"Pagi tadi saya dari Terengganu singgah di tandas R&R Gambang dan saya menyedari tertinggal dompet selepas sampai di Tol Karak.

"Saya berpatah balik untuk mencari dompet tersebut namun ia sudah hilang. Saya sudah melihat kamera litar tertutup namun masih tidak jumpa siapa yang ambil," ujarnya kepada mStar Online.


PU Amin berangkat menunaikan Umrah pada petang Ahad.

Tambahnya, dia yang bakal berangkat menunaikan umrah petang Ahad itu memberitahu terkilan apabila duit tersebut adalah sumbangan orang ramai yang mahu bersedekah di Tanah Suci Makkah.

"Wang tunai berjumlah RM3,000 itu untuk bekalan di Makkah dan termasuk sumbangan orang untuk bersedekah di sana.

"Selain itu kad-kad pengenalan saya, isteri dan anak-anak serta kad-kad peribadi lain," ujarnya.

PU Amin berkata, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Gambang dan berharap orang yang menjumpai dompet tersebut memulangkan semula kepadanya.

"Kalau nak ambil duit itu ambillah tapi minta pulangkan kad-kad penting lain dalam dompet itu.

"Jika anda terambil dan berlembut hati minta pulangkan pada alamat yang saya berikan di Instagram," ujarnya.

PU Amin