Selepas 14 tahun, Siti Nurhaliza kembali beraksi di Royal Albert Hall London - Hiburan | mStar

Selepas 14 tahun, Siti Nurhaliza kembali beraksi di Royal Albert Hall London

Siti Nurhaliza akan menggegarkan pentas yang pernah menaikkan namanya di London 14 tahun lalu.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bakal kembali beraksi di pentas berprestij, Royal Albert Hall, London selepas 14 tahun dengan mengadakan konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour.

Siti, 39, berkata dia dan penganjur iaitu Shiraz Projects terbuka menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak untuk konsert tersebut yang akan diadakan pada 22 April 2019. 

“Insya-Allah memang sudah dalam perancangan kami untuk mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London semula pada 22 April tahun hadapan.

“Saya dan penganjur masih mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberi sebarang tajaan sebelum konsert ini berlangsung,” katanya kepada mStar Online.

Penyanyi lagu Anta Permana ini ditemui ketika sidang media Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Hotel Shangri-La, di sini pada Selasa.

Untuk rekod, Siti pertama kali mengadakan konsert Siti Nurhaliza Live In Royal Albert Hall itu pada 1 April 2005 dan sudah pun melaksanakan lebih 50 buah konsert sepanjang lebih 20 tahun dalam industri.

Sementara itu, lokasi pertama konsert jelajah Siti ini bakal bermula di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia pada 21 Februari 2019 dan lokasi seterusnya di Singapore Expo, Singapura pada 2 Mac 2019.

Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.

Konsert itu juga akan menampilkan beberapa segmen iaitu etnik/tradisional, balada, carta unggul dan unplugged di mana semua muzik dihasilkan dan diaturkan semula oleh Aubrey Suwito bersama band Alla-Star.

Selain itu, penyanyi Indonesia terkenal iaitu Tulus menjadi artis jemputan yang bakal membawakan lagu-lagu hit dan berkemungkinan penonton juga akan menyaksikan persembahan lagu duet bersama Siti sebelum lagu itu dilancarkan.

Malah, sebuah filem dokumentari mengisahkan perjalanan belakang tabir sepanjang konsert jelajah ini berlangsung bertajuk They Call Me Siti bakal dilancarkan di layar lebar pada hujung tahun hadapan.

Tiket berharga RM105, RM155, RM255, RM355, RM495 dan RM1295 (meet & greet) boleh didapati menerusi www.mytickets.asia bermula 26 Disember depan.

Siti Nurhaliza

Artikel Lain