suria

Isu Dilempang, Ogy Nak Jumpa Aiman Tino, Pihak Pengurusannya

Fauziah Ahmad Daud berang apabila mendapat tahu adiknya, Fazlina Ahmad Daud dikaitkan dengan kontroversi.

ISU penyanyi remaja Aiman Tino ditampar pelakon Fazlina Ahmad Daud menerusi satu babak dalam drama bersiri Mak Cun musim keempat mendapat perhatian aktres terkenal Fauziah Ahmad Daud yang juga kakak kepada Fazlina.

Fauziah atau lebih mesra dengan sapaan Ogy, 56, berkata, dia berang apabila nama adiknya terpalit dengan kontroversi tersebut sehingga berhajat untuk bertemu dengan Aiman dan pihak pengurusannya yang didakwa tidak berpuas hati dengan Fazlina.

"Saya hantar mesej kepada Baby (Fazlina) dan bertanya apa sebenarnya berlaku dan bertanya kepada dia sejak bila pula dia jadi guru lakonan?

"Apabila dia menjelaskan situasi sebenar saya jadi marah dan ingin berjumpa dengan Aiman dan pihak pengurusannya yang dikatakan tidak berpuas hati dengan kejadian itu.

Fazlina Ahmad Daud.

"Saya tidak suka adik saya dikaitkan dengan perkara sebegitu dan ingin tahu cerita sebenar daripada pihak mereka tapi Baby melarang saya dan ingin selesaikan sendiri perkara itu," katanya.

Nama Fazlina menjadi hangat apabila peminat Aiman berang dengan tindakannya menampar penyanyi lagu Ku Rela Di Benci itu sehingga pihak pengurusannya juga tidak berpuas hati dan mahu mengambil tindakan.

Fazlina menegaskan apa dilakukan hanya bertujuan bagi memastikan Aiman dapat memberikan yang baik dan ketika babak itu dilakukan dia menggunakan teknik bagi membolehkan penyanyi itu mengeluarkan emosi sepatutnya.

Aiman turut menjelaskan dia tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai isu selain tidak berniat mengambil sebarang tindakan seperti didakwa malah berterima kasih kepada Fazlina yang banyak membantunya di set penggambaran.

Dalam pada itu, Ogy berkata, dia berasa sensitif mengenai isu melibatkan adiknya itu kerana ia turut mengaitkan nama ibu bapa mereka iaitu pelakon era 1950-an, Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah.

Aiman Tino pertama kali berlakon.

Jelas Ogy, sepanjang penglibatannya dalam industri seni dia sentiasa memastikan menjaga nama baik mereka.

"Ketika saya bertanya kepada Baby mengenai perkara ini saya beritahu dia jangan malukan arwah ibu bapa kami. Saya memang menjaga mengenai perkara itu.

"Saya kenal adik saya dan apa yang berlaku bukan seperti yang digembar-gemburkan malah saya bertanya sendiri kepada pengarah dan penerbitnya, Erma Fatima yang berada di lokasi tentang situasi sebenar.

"Erma sendiri mengesahkan kepada saya tiada apa-apa yang berlaku di set malah hubungan Aiman dan Baby okay sahaja cuma isu itu diperbesar-besarkan," katanya.

Artikel Lain