suria

Safura Berhajat Bawa Ibu Sakit Kritikal Tonton Persembahannya

Safura berharap dapat membawa ibunya yang kini sedang terlantar sakit menyaksikan persembahannya bersempena Hari Ibu pada 1 Mei depan.

PENYANYI dan pelakon Safura Yaacob menyimpan hasrat untuk membawa ibunya, Nariah Mat Taheri yang kini terlantar sakit menyaksikan persembahan pentasnya bersempena Hari Ibu pada 1 Mei depan.

Ibunya yang berumur 75 tahun ketika ini menjalani rawatan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Selayang akibat penyakit diabetis dan paru-paru berair sejak minggu lalu.

Safura, 45, berkata, dia berharap kesihatan ibunya kembali pulih menjelang persembahan itu kerana dia sudah lama ingin merealisasikan impian ibunya yang ingin menonton dia menyanyi di pentas.

“Saya sudah lama tidak mengadakan persembahan besar dan mungkin kali terakhir sekitar enam tahun lalu.

“Apabila mendapat tawaran menjayakan persembahan hari ibu memang saya teruja kerana ini juga peluang saya untuk menghiburkan ibu sendiri selepas sekian lama.

“Bagaimanapun kesihatannya terjejas teruk sejak minggu lalu dan saya setiap hari berdoa agar kesihatannya kembali pulih dan dapat dia hadir ke persembahan saya itu nanti,” katanya kepada mStar Online.

Safura teruja kembali dapat menghiburkan peminat dalam sebuah persembahan istimewa. 

Safura ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku yang diadakan pada Selasa.

Persembahan istimewa itu bakal menggandingkan Safura dan Liza Hanim menghiburkan peminat selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera Kuala Lumpur, pukul 2.30 petang.

Dalam pada itu, Safura berkata, dia terkilan belum memberitahu mengenai persembahan istimewa itu kepada ibunya kerana ingin membuat kejutan.

Malah katanya, dia sudah pun membuat tempahan meja untuk ibunya hadir pada acara itu nanti.

Bercakap lanjut mengenai keadaan ibunya, Safura berkata, pada awalnya ibunya mengalami batuk berterusan sebelum membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Safura bergandngan dengan Liza Hanim dan Fauziah Ahmad Daud.

Bagaimanapun doktor yang memeriksa keadaan ibunya mendapati kaki dan beberapa anggota badannya mengalami bengkak dipercayai akibat paru-paru berair.

“Selepas diberitahu keadaan ibu saya bersama ahli keluarga yang lain membawa ibu ke hospital dan dia diberikan rawatan kecemasan kerana keadaannya sudah agak teruk.

“Jantungnya juga lemah dan doktor mengambil keputusan menidurkannya dan memasang alat bantuan pernafasan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata penyanyi lagu Sedalam Mana Cintamu itu, keadaannya ibunya kini menunjukkan peningkatan selain sudah tidak menggunakan alat bantuan pernafasan itu lagi.

“Sebelum ini jantungnya lemah tetapi sekarang Alhamdulillah sudah ada peningkatan. Harap-harap keadaannya akan kembali pulih tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Safura berkata, dia akan menyampaikan lima buah lagu popularnya pada acara itu nanti selain teruja bergandingan buat pertama kali dengan Liza Hanim.

Tiket bagi menyaksikan persembahan itu dijual pada harga RM10,000 (Pakej Korporat), RM5,000 (Pakej Bonda) dan RM150 (Individu) serta RM80 (Kanak-Kanak).

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket boleh menghubungi 019-2975260 (Samirah) atau 016-3787863 (Cik Emyllia).

Artikel Lain