suria

“Buat Apa Nak Malu Jumpa Peminat Di Pusat Beli-Belah” - Liza Hanim

Liza Hanim menghargai sokongan peminat terhadapnya sejak dia kembali aktif dalam bidang nyanyian.

BEKAS peserta program Gegar Vaganza musim keempat Liza Hanim tidak pernah bersikap memilih lokasi untuk bertemu peminatnya termasuk di pusat beli-belah walaupun dia penyanyi popular.

Liza, 39, sebaliknya berkata, pusat beli-belah sebenarnya adalah lokasi paling baik untuk bertemu peminat kerana ia lebih bersifat santai.

“Pada saya sebagai artis kita kena jumpa peminat tak kira di mana pun termasuk pusat beli-belah.

“Buat apa hendak malu? Pada saya ia tempat yang sesuai malah dari sejak awal kemunculan saya dahulu, pusat beli-belah sentiasa menjadi pilihan,” katanya.

Liza ditemui pada sidang media Sepetang Bersama Bonda Ratuku yang diadakan pada Selasa.

Persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu itu bakal menggandingkan Liza Hanim dan Safura selain Fauziah Ahmad Daud sebagai pengacara.

Liza baharu sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Mimpi.

Sepetang Bersama Bonda Ratuku akan berlangsung pada 1 Mei depan bertempat di Hotel Premiera Kuala Lumpur bermula pukul 2.30 petang.

Dalam pada itu, Liza berkata, semenjak kembali aktif dalam bidang nyanyian dia sentiasa mencari ruang untuk bertemu dengan peminat kerana mereka adalah tunjang kepada karier seninya.

“Konsep turun padang memang saya amalkan sejak dulu kerana peminat ini sebenarnya mahu melihat dan merasai kehadiran kita.

“Walaupun sekarang teknologi sudah banyak berubah termasuk media sosial namun saya percaya penampilan fizikal kita dengan peminat itu yang mengeratkan hubungan artis dan peminat.

“Insya-Allah dalam minggu ini pun saya akan ke Myddin di USJ bagi bertemu peminat selain mempromosikan single terbaharu saya, Mimpi,” ujarnya.

Safura, Fauziah Ahmad Daud dan Liza Hanim bersama penganjur.

Bercakap mengenai Sepetang Bersama Bonda Ratuku, Liza berkata, dia berasa teruja dan gementar kerana ia adalah persembahan besar pertamanya sejak Gegar Vaganza berakhir.

Kata Liza, dia akan menyampaikan lima buah lagu hitnya selain persembahan duet istimewa bersama Safura.

“Acara ini atas tujuan baik iaitu bagi meraikan ibu dan saya sendiri pun teruja kerana sudah lama tak buat persembahan besar seperti ini.

“Paling seronok bergandingan dengan Safura kerana kami muncul pada tahun yang sama dalam industri tetapi tidak pernah berpeluang bekerjasama.

“Apa yang boleh saya janjikan persembahan itu nanti akan menjadi yang sangat istimewa,” ujarnya.

Liza Hanim

Artikel Lain