suria

Ahmad Idham Tangguh Tayangan ‘Qhaliq’ Kerana ‘Dukun’

Filem Dukun dan Qhaliq ditayangkan pada hari sama iaitu pada 5 April 2018.

PENGARAH filem Ahmad Idham mengambil keputusan untuk menarik balik tayangan filem arahan terbaharunya berjudul Qhaliq yang sepatutnya menemui penonton pada Khamis.

Idham berkata, dia mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada filem Dukun yang ditayangkan pada hari sama dan keputusan itu sebagai tanda sokongan kepada karya arahan Dain Said itu.

"Saya di sini ingin menjelaskan yang agenda saya bukan ingin memberi sebarang halangan kepada Dukun.

"Sebaliknya selepas berbincang dengan penerbit saya merasakan adalah lebih baik kami menangguhkan tayangan Qhaliq dan memberi laluan kepada Dukun terlebih dahulu sebagai tanda sokongan," katanya.

Ahmad Idham menjelaskan tindakan menangguhkan tayangan Qhaliq sebagai tanda sokongan kepada Dukun.

Idham berkata demikian ketika menghadiri sidang media yang diadakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung filem Dukun pada Selasa.

Dalam pada itu, Idham berkata, dia sudah pun menghantar rayuan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bagi membolehkan tarikh tayangan Qhaliq ditangguhkan bagi memberi laluan kepada filem Dukun yang ditayangkan pada hari sama.

"Saya sendiri antara orang yang menantikan tayangan Dukun sejak sekian lama. Sebagai pembikin filem, tidak perlu kita bersaing tanpa sebarang sebab," jelasnya lagi.

Qhaliq adalah sebuah filem aksi yang dibintangi oleh Hairul Azreen dan ia mengangkat mengenai kehidupan anggota bomba.

Sementara itu, Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya ada menerima pelbagai aduan daripada orang ramai berhubung penayangan Dukun yang dilihat tidak bersesuaian untuk tontonan golongan muda.

Umie Aida memegang watak utama dalam Dukun.

Tambah Nadzim lagi, ada di antara pengadu daripada kalangan ibu bapa dan pendidik turut mempersoalkan kaedah promosi digunakan oleh syarikat penerbitan.

"Pihak kami telah menerima panggilan daripada beberapa kumpulan dan individu tentang filem Dukun.

"Kami bukan ingin menggangu penayangan filem itu tetapi kami merasakan perlu berkongsi kebimbangan orang ramai tentang Dukun," katanya.

Dukun terbitan Astro Shaw akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 April ini.

Dukun yang diharamkan tayangannya pada Disember 2006, diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa pengamal ilmu hitam pada 1993.

Berikutan itu, Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) mengharamkan filem berkenaan kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

Nadzim melahirkan kebimbangan terhadap tayangan Dukun.

Ia dibintangi oleh Datin Umie Aida  yang memegang watak sebagai Diana Dahlan, selain membariskan pelakon seperti Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.

Pada 2 April lalu, Astro Shaw membuat pengumuman mengejut mengenai tarikh tayangan filem itu selepas ia terperam selama 12 tahun.

Dalam perkembangan sama, Nadzim berkata, treler filem itu yang dilancarkan pada 2 April lalu yang menampilkan babak seram dibimbangi dapat memberi impak negatif kepada penonton terutamanya golongan muda.

Bagaimanapun Nadzim menjelaskan, PPIM tidak meminta filem itu diharamkan daripada ditayangkan di pawagam.

"Kita cuma harap ada sesuatu boleh dilakukan memandangkan Dukun mendapat rating P13," katanya.

Qhaliq, Dukun, Ahmad Idham, PPIM

Artikel Sebelum

Artikel Lain