suria

Zoey Rahman Jawab Tuduhan Lakukan Pembedahan Plastik

Zoey menganggap tuduhan dia melakukan pembedahan plastik pada wajah sebagai tidak berasas. Foto SYED AZAMUDDEN

PELAKON Zoey Rahman menganggap tuduhan dia melakukan pembedahan plastik ekoran wajahnya kelihatan berbeza sebagai tidak berasas.

Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abd Rahman, 32, bagaimanapun berkata dia sudah lali dengan tanggapan tersebut kerana ia bukan kali pertama dia mendengar tentang perkara itu.

"Tuduhan ini bukannya baru kerana sebelum ini pun ramai ada cakap saya buat pembedahan untuk mengubah wajah dan macam-macam lagi.

"Ia tidak benar. Pada saya tuduhan itu tidak berasas dan ia perkara biasa kerana bukan semua sukakan kita dan sebaliknya.

"Pada saya senang, cakaplah apa pun, ia tidak mendatangkan masalah kepada saya," katanya kepada mStar Online.

Zoey ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Ana Kleopatrena yang diadakan pada Sabtu.

Zoey bersama rakan pelakon dalam drama bersiri Ana Kleopatrena. Dari kiri; Mimi Ernida, Nazim Othman dan Adeline Tsen.

Drama bersiri 30 episod itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mimi Lana, Nazim Othman, Adeline Tsen dan Mimi Ernida.

Ia sudah pun menemui penonton sejak 29 November lalu pada setiap hari Rabu dan Khamis, 9 malam di saluran HyppSensasi HD (166).

Bagaimanapun kata Zoey, dia tidak menafikan sebagai seorang selebriti adalah penting untuk menjaga penampilan agar sentiasa kelihatan menarik apabila berada di khalayak.

"Rawatan seperti suntikan vitamin C itu normal dan sebagai selebriti sangat penting untuk menjaga penampilan.

"Kalau wajah kusam dan tak bermaya pun tak boleh juga kerana kita membawa imej sebagai seorang artis.

Zoey kini berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

"Tetapi tidaklah sampai tahap untuk mengubah wajah atau buat perkara yang boleh merosakkan diri," ujarnya.

Sementara itu, Zoey berkata, wajahnya dilihat berbeza berkemungkinan amalannya menggunakan produk kecantikan keluarannya sendiri iaitu Mikaseries yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Kata Zoey, bagi menyakinkan pembeli dia sendiri perlu menggunakan produk tersebut dan bersyukur ia memberi kesan positif kepada wajahnya.

"Berkemungkinan kesan produk yang saya keluarkan sendiri ini membuatkan wajah saya nampak berbeza.

"Sebelum ini ramai bertanya saya bagaimana menjaga penampilan diri dan itu membuatkan saya terfikir untuk menghasilkan produk penjagaan wajah dan kecantikan sendiri.

"Ia bukan sahaja khusus untuk wanita tetapi turut boleh digunakan oleh lelaki," jelasnya.

Zoey menganggap seorang selebriti perlu mementingkan imej.

Bercakap lanjut mengenai produk keluarannya itu, Zoey berkata, seperti usahawan lain dia juga tidak mendapat jalan mudah dan perlu melalui pelbagai cabaran sebelum produk itu dapat dihasilkan.

Bagaimanapun katanya, dia menganggap ia sebagai satu cabaran sebelum dapat merasai kemanisan hasil daripada usahanya.

"Jujur saya tiada ilmu dalam perniagaan tetapi ia sesuatu yang boleh dipelajari dan saya sendiri bermula daripada bawah.

"Insya-Allah kedatangan 2018 tidak lama lagi saya akan tampil dengan sesuatu bagi memantapkan lagi jenama Mikaseries.

"Setakat ini produk saya mendapat sambutan menggalakkan dan Alhamdulillah sudah mempunyai stokis di seluruh Malaysia," ujarnya.

Zoey Rahman, Ana Kleopatrena, HyppTV

Artikel Sebelum

Lan Tolak Bedah Buasir Demi GV4

Artikel Berikut

Dugaan Alif Tanpa Isteri, Anak

Artikel Lain