suria

Bront Palarae Teruskan Penggambaran 'One Two Jaga' Selepas Dua Tahun

Bront bakal tampil dengan filem kedua terbitannya berjudul One Two Jaga.

PETALING JAYA: Pelakon Bront Palarae menganggap kemenangan treler One Two Jaga di Southeast Asian Film Financing (SAFF) di Singapura pada Disember tahun lalu sebagai penggerak untuk dia meneruskan penggambaran filem berkenaan yang tertangguh sejak 2014.

Bront berkata,One Two Jaga berjaya mengalahkan 140 filem daripada 23 buah negara yang turut bertanding dan menerima tajaan kelengkapan kamera berteknologi tingga bernilai SGD$25,000 (RM73,000).

"Saya dan pasukan produksi telah memulakan projek ini sejak dua tahun lalu namun ia diperingkat pembaikkan skrip dan jalan cerita.

"Bagaimanapun saya tidak menyangka penyertaan menerusi SAFF membuahkan hasil apabila berjaya diumumkan sebagai pemenang dan mengalahkan 140 filem lain dari seluruh dunia.

"Hadiah tajaan kelengkapan kamera untuk penggambaran sebenarnya menjadikan penggerak untuk saya selaku penerbit menyiapkan filem berkenaan secepat mungkin," katanya kepada mStar Online.

Poster filem One Two Jaga.

One Two Jaga adalah sebuah filem drama aksi yang diarahkan oleh Namron menampilkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia iaitu Beto Kusyairi, Datin Sofia Jane, Zaidi Omar, Amerul Affendi, Ario Bayu dan Asmara Abigail.

Dalam pada itu, Bront berkata, pihaknya mengolah beberapa kali skrip filem berkenaan kerana merasakan ia tidak kuat dalam menarik perhatian penonton.

"One Two Jaga sebenarnya tergendala penggambarannya bukan kerana ada masalah tetapi kami ambil masa kerana skrip yang dihasilkan terpaksa diolah beberapa kali.

"Ada ketikanya kami di pihak produksi merasakan jalan cerita ditampilkan tidak menepati standard tertentu selain ingin memastikan ia benar-benar dapat diterima penonton," katanya.

Sementara itu, Bront berkata, filem berkenaan akan dihantar menyertai festival filem di peringkat antarabangsa terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada penonton di pawagam di negara ini.

Jelas Bront, ia sebagai salah satu langkah promosi dalam mewujudkan permintaan dikalangan penonton memandangkan peruntukkan untuk tujuan publisiti terhad.

"Syarikat saya tidak sebesar seperti produksi lain untuk promosikan filem secara besar-besaran dan kerana itu Insya-Allah One Two Jaga akan masuk festival filem di luar negara terlebih dahulu.

"Selain ingin mencari peluang di sana ia sekali gus dapat mewujudkan permintaan sebelum ia ditayangkan di pawagam," katanya.

Bront Palarae, One Two Jaga

Artikel Lain