suria

Sari Yanti Sangkal Cuba Didekati Rakan Artis

Sari Yanti bagaimanapun mengakui ada menerima usikan daripada teman artis lelaki yang rapat dengannya namun menganggap ia sebagai gurauan.

KUALA LUMPUR: Pelakon Sari Yanti menyangkal dakwaan kononnya beberapa selebriti cuba mendekatinya sejak dia bercerai dengan Mohd Edy Casmadi Che Hussin pada 11 Disember 2014.

Sari atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 32, berkata, dia tidak pernah didekati seperti didakwa namun mengakui ada menerima gurauan daripada teman artis lelaki yang rapat dengannya.

"Didekati dengan tujuan tertentu tidak ada dan setakat ini tiada pula ada yang mencuba sampai melamar untuk berkahwin.

"Tetapi usik-usik itu adalah dan saya tidak anggap ia serius pun kerana ia hanya gurauan.

"Saya pun kadang-kadang balas juga gurauan mereka itu kerana kami saling mengenali dan tidak mahu dituduh sebagai sombong pula sampai tidak boleh bergurau," katanya kepada mStar Online.

Sari ditemui pada sidang media teater muzikal Lela Manja di Lambang Sari, Istana Budaya di sini, Selasa.

Sari Yanti bakal memegang watak sebagai Lela menerusi teater muzikal Lela Manja.

Teater arahan Ramli Rani itu bakal dipentaskan bermula 22, 23, 29 dan 30 Julai ini pada pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.

Manakala pada 24 dan 31 Julai persembahan akan diadakan pada pukul 3 petang.

Selain Sari Yanti, Lela Manja turut dibintangi oleh Nabila Huda, Sahronizam Noor, Rashdan Baba, Aeril Zafril, Hafidz Roshdi dan Syazwan Zulkifly.

Dalam pada itu, Sari berkata, dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin semula namun masih belum berjumpa pasangan sesuai.

Bagaimanapun dia tidak tertekan dengan soal tersebut kerana fokusnya adalah kepada dua cahaya matanya iaitu Barr Al Aly, 6, dan Basit Al Haq, 4 tahun.

"Saya dah pernah melalui alam perkahwinan dan mempunyai dua orang anak, jadi soal kahwin semula tidak terlalu menjadi fokus saya.

"Tetapi tidak sampai saya menutup hati untuk kahwin lain cuma belum bertemu dengan yang berkenan di hati," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai Lela Manja, Sari berkata, dia terpanggil menerima pelawaan teater berkenaan kerana tidak pernah berlakon dalam pementasan bangsawan dan ingin merasai pengalaman itu.

Kata Sari, teater muzikal itu juga adalah yang pertama penglibatannya di Panggung Sari membuatkannya lebih teruja.

"Saya ada beberapa pengalaman berlakon teater tetapi di panggung Sari ini adalah kali pertama tambahan pula belum pernah terlibat dalam pementasan bangsawan.

"Perasaan gemuruh memang ada kerana pentas teater tiada ruang untuk saya buat kesalahan jadi fokus perlu diberikan seratus peratus.

Tambah Sari, dia juga turut menonton kembali filem asal Lela Manja arahan Jamil Sulong bagi memahami jalan cerita dan watak sebagai Lela.

Dalam perkembangan lain, Sari berkata, dia juga baharu sahaja selesai menjalani sebuah telefilem arahan Yusry Abdul Halim berjudul Segitiga untuk siaran Astro.

Sari Yanti

Artikel Lain