suria

Aizat Amdan Impikan Segera Kahwin

Aizat mengakui dia masih solo dan menyasarkan untuk menamatkan zaman bujangnya sebelum berusia 30 tahun. Foto LOW BOON TAT

PETALING JAYA: Penyanyi Aizat Amdan tidak berhasrat menjalinkan hubungan cinta terlalu lama sebaliknya ingin segera berkahwin sekiranya bertemu dengan wanita sesuai untuk dijadikan isteri.

Aizat atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 27, berkata, pada usianya kini dia tidak melihat perkara itu sebagai satu keutamaan kerana paling penting wujud keserasian dan persefahaman dalam hubungan.

"Jika bercakap soal berkahwin saya sebenarnya tidak mahu bercinta terlalu lama dan jika sudah bertemu dengan pasangan sesuai saya ingin segera berkahwin.

Aizat masih mencari calon sesuai untuk dijadikan isteri.

"Pada usia sekarang saya lebih matang dalam berfikir soal pasangan dan melihat keserasian selain persefahaman dalam sesuatu hubungan itu sebagai perkara utama," katanya kepada mStar Online.

Aizat ditemui pada majlis pelancaran muzik video Raniaku bersama Safi dan Aizat Amdan yang diadakan di Cathay Cineplex eCurve di sini, Rabu.

Bercakap lanjut mengenai soal perkahwinan, Aizat bagaimanapun memberitahu dia masih solo dan sedang mencari calon sesuai untuk dijadikan isteri.

Malah kata Aizat, keluarganya juga tidak pernah mendesak untuk dia segera kahwin dalam masa terdekat dan membiarkan dirinya membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Apa yang boleh saya katakan, saya masih solo tetapi berharap dapat berkahwin sebelum usia 30 tahun.

"Tertekan dengan desakan keluarga supaya cepat berkahwin rasanya tidak sebab mereka tidak pernah mendesak tambahan pula saya jarang berkongsi soal peribadi dengan keluarga.

Remy Ishak dan Nora Danish buat kemunculan dalam muzik video Raniaku.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan karier seninya, Aizat berkata, dia sudah menyiapkan 10 buah lagu untuk dilancarkan sebagai single sebelum ia dilancarkan dalam sebuah album kompilasi.

Selain itu, Aizat juga turut menyumbangkan sebuah lagu untuk Dayang Nurfaizah berjudul Dalam Diam yang akan dimuatkan dalam album terbaharu penyanyi terkenal itu.

Bercakap mengenai lagu terbaharunya berjudul Raniaku, Aizat berkata, ia akan dijadikan sebagai lagu kempen produk penjagaan wajah Safi Teknologi Duo Emas 24K.

"Saya sudah lama siapkan melodi lagu itu dan apabila dirisik oleh pihak Safi mereka suka lagu berkenaan dan ingin menggunakannya sebagai lagu kempen produk jenama itu.

"Kami juga telah merakamkan muzik video lagu berkenaan di Bali, Indonesia baru-baru ini yang turut menampilkan duta produk Safi iaitu Nora Danish dan Remy Ishak sebagai model.

"Ia diarahkan oleh pengarah Nan Salleh dan rakaman berlangsung selama enam hari di Bali," katanya.
Aizat Amdan, Raniaku, Safi, Nora Danish

Artikel Lain