suria

Red Comm Tidak Prejudis Pilih Bakat Baru

Lina Tan mengalu-alukan lebih ramai artis tanah air menyertai Red House Talents yang baru ditubuhkan. - Foto oleh SAMUEL ONG
Lina Tan mengalu-alukan lebih ramai artis tanah air menyertai Red House Talents yang baru ditubuhkan. - Foto oleh SAMUEL ONG
Lina Tan mengalu-alukan lebih ramai artis tanah air menyertai Red House Talents yang baru ditubuhkan. - Foto oleh SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi Red Communications Sdn Bhd atau Red Comm yang sinonim dengan penerbitan produk berkonsepkan urban tidak pernah mengamalkan sikap dwistandard dan prejudis dalam mencari bakat-bakat baru.

Menurut Pengarah Urusannya Lina Tan, sepanjang syarikat itu beroperasi selama 12 tahun, pihaknya tidak pernah memilih bakat dalam industri hiburan berdasarkan rupa yang kacak atau cantik dan berpenampilan moden semata-mata.

“Kami tidak pernah menetapkan kriteria yang hanya memilih bakat yang cantik, kacak atau berpenampilan moden sahaja. Mungkin orang berpandangan begitu kerana kebanyakan produk yang kami hasilkan berunsur urban dan kontemporari.

“Hakikatnya, kami terbuka dalam membuat pilihan. Sesiapa sahaja yang berbakat dan bersesuaian dengan keperluan produk kami pada satu-satu masa akan mendapat peluang,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 syarikat itu dan pelancaran Red House Talents di Publika, Solaris Dutamas di sini.

Tan berkata, seiring dengan kepelbagaian produk yang dihasilkan termasuk filem, drama, iklan komersial dan dokumentari, Red Communications kini meluaskan cabang perniagaan dengan menubuhkan Red House Talents yang menjadi platform bakat-bakat tanah air.

“Red House Talents adalah platform buat bakat-bakat baru dan sedia ada di negara ini. Kami bertindak sebagai ejen atau pihak ketiga yang menemukan bakat-bakat ini dengan pihak klien mengikut permintaan mereka dan kesesuaian produk yang dihasilkan.

“Ia mula beroperasi sejak tahun lepas cuma pada majlis ini kami mahu umumkan secara rasmi kepada semua. Kami mahu bakat-bakat tempatan berkembang seiring dengan produk-produk yang kami hasilkan,” katanya yang mengalu-alukan penyertaan selebriti tempatan dalam anak syarikat itu.

Terbaru, Tan berkata, anak syarikat Red Films baru sahaja menamatkan penggambaran Kami Histeria arahan Syamil Othman yang membariskan antaranya Nur Fazura, Diana Danielle, Sara Ali, Nad Zainal, Mila Jirin dan Umi Omar.

Red Films yang ditubuhkan pada 2004 sudah menghasilkan pelbagai filem antaranya Goodbye Boys, Kami, Gol & Gincu, Kami, Pisau Cukur, Songlap dan terbaru Istanbul Aku Datang yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Antara drama, siri dan program yang pernah dihasilkan adalah Kami The Series, Blogger Boy, Impian, Impian Illyana, Sadiq & Co, Kotex Memberku Hawa dan Gadis Semasa Sunsilk.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.red.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain