suria

Insiden Buruk Punca Joey Tidak Teruskan Jadi Penyanyi

Joey mengakui masih meminati bidang nyanyian yang telah lama ditinggalkan. Foto AZLINA ABDULLAH.
Joey mengakui masih meminati bidang nyanyian yang telah lama ditinggalkan. Foto AZLINA ABDULLAH.
Joey mengakui masih meminati bidang nyanyian yang telah lama ditinggalkan. Foto AZLINA ABDULLAH.

PETALING JAYA: Pelakon komedi, Joey atau nama sebenarnya Zulkifli Daud mengakui kurang bernasib baik untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas beberapa insiden buruk berlaku terhadapnya.

Joey berkata, walaupun masih mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang itu dia memberitahu tidak mahu terlalu berharap kerana bimbang terpaksa berhadapan dengan cabaran yang akhirnya mengundang kekecewaan.

"Saya pernah menghasilkan album bersama Datuk M.Nasir. Walaupun ia adalah karya yang bagus tetapi pelbagai masalah dan kontroversi timbul sehingga ia senyap begitu sahaja.

"Malah ketika melancarkan sebuah album di Indonesia pada tahun 1999 saya sekali lagi kecewa apabila bangunan syarikat rakaman di Jakarta terbakar dan menyebabkan aktiviti promosi tergendala walaupun album berkenaan telah terjual sebanyak 600 ribu unit di Indonesia.

"Saya masih menaruh harapan untuk kembali menyanyi dan yakin dapat diterima peminat cuma bimbang akan timbul pelbagai masalah seolah-olah ia satu badi buat diri saya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini, Khamis.

Joey yang pernah popular dengan lagu Beradu Suratan turut mengakui dia kini lebih dikenali sebagai pelakon terutama di kalangan peminat-peminat baru.

Dalam pada itu, Joey memberitahu dia telah memberi nama baru pada kumpulan Anje yang ditubuhkannya bersama Acong (Sweet Child) semasa menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) awal tahun lalu kepada nama AJK.

Joey memberitahu, nama baru itu dibuat bersempena penyertaan rakannya iaitu pelakon Kaza dalam kumpulan tersebut bagi menyertai MLM musim terbaru penghujung tahun ini.

"Kaza adalah antara rakan baik saya yang ramai tidak tahu dia sebenarnya adalah seorang pelawak yang baik dan penyertaannya dalam kumpulan AJK dapat menguatkan apa yang telah ada sebelum ini.

"Idea terhadap nama AJK itu diambil bersempena dengan pangkal huruf nama masing-masing," katanya.

Joey turut memberitahu, walaupun pernah menjadi antara kumpulan terawal yang tersingkir semasa musim pertama MLM, untuk musim terbaru ini dia tidak mengharapkan kemenangan sebaliknya memasang niat memeriahkan program itu selain mencabar diri membuat persembahan lawak di pentas.

Sementara itu, Joey juga tidak menafikan kemungkinan mereka akan bersatu sebagai sebuah kumpulan nyanyian jika ada mendapat tawaran daripada mana-mana pihak memandangkan ketiga-tiga mereka adalah penyanyi.

Artikel Berikut

Artikel Lain