suria

Pelajari Perubatan Islam Tidak Jejas Kerjaya Seni Adam

Adam
Adam
Adam

KUALA LUMPUR: Keputusan penyanyi Adam (AF2) untuk mendalami ilmu perubatan Islam sejak hampir dua tahun lalu tidak menjejaskan kerjaya seni yang dilaluinya.

Pemilik nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman, 28, ini berkata, ini kerana secara keseluruhan proses pembelajaran ilmu perubatan bersama aktor Ashraf Muslim di Klinik Perubatan Syifa Al-Hidayah Gombak itu berlaku secara berperingkat.

“Tidak timbul isu konflik atau kekeliruan bagi saya kerana cabang seni dan pengamal perubatan itu berjalan serentak dan berasingan.

"Pada kebiasaannya, saya akan memberikan tumpuan untuk mendalami ilmu perubatan pada sebelah siang dan malam pula untuk aktiviti seni.

“Apa yang penting, niat kena bersih dan saya selesa dengan jalan ini. Biarlah kita peroleh manfaat di dunia dan akhirat, insya-Allah,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Vokalis kepada kumpulan pop VIP itu berkata, peralihan tersebut tidak boleh berlaku dengan sekelip mata kerana dia sudah lama menceburi bidang seni sebelum ini.

“Untuk berhenti secara total daripada bidang seni, saya belum bersedia kerana ia melibatkan pelbagai pihak dan komitmen. Saya akui takut menyesal jika berhenti secara drastik.

“Jalan terbaik adalah dengan mengimbanginya. Walaupun perjuangan seni saya lebih cenderung kepada muzik tari, ia bukan isu kerana saya sentiasa peka pada tindak-tanduk dan pertuturan,” katanya yang mengakui berdepan pelbagai ujian sejak penghijrahan itu.

Ditanya adakah dia bercadang untuk menampilkan genre kerohanian dalam muziknya pada masa akan datang, Adam berkata ia adalah cadangan yang sudah dipertimbangkan dan kini sedang mengumpulkan lagu-lagu yang bersesuaian.

“Tiada sempadan untuk menyampaikan mesej Islam dan kerohanian dalam muzik. Saya sedang mengumpulkan lagu-lagu untuk dipadankan dengan genre muzik tari saya.

“Dalam hal ini, saya perlu berhati-hati agar masyarakat boleh menerima lagu-lagu rancak yang bermesejkan kerohanian seperti yang dilakukan pendakwah-pendakwah di Barat,” katanya yang kini terlibat sebagai mentor pada program Mentor 6 di TV3.

Artikel Sebelum

Artikel Lain