suria

Protege Mentor Banyak Kekurangan-Ramli MS

Shiha mendapat markah tertinggi pada minggu pertama. Foto TheStar BRIAN MOH
Shiha mendapat markah tertinggi pada minggu pertama. Foto TheStar BRIAN MOH
Shiha mendapat markah tertinggi pada minggu pertama. Foto TheStar BRIAN MOH

PETALING JAYA: Juri tetap pertandingan realiti Mentor, Datuk Ramli MS menegaskan tiga protege daripada kumpulan A, Ayish, Shiha dan Ratnah lemah dalam menjiwai lagu yang dibawakan.

Tiga protege tersebut merupakan dibawah didikan mentor masing-masing iaitu, Noh Hujan (Ayish), Datuk Sharifah Aini (Shiha) dan Afdlin Shauki (Ratnah).

Menurut Ramli, walaupun masing-masing mempunyai nada suara yang sedap, sebenarnya mereka tidak menjiwai lagu yang dinyanyikan dan perlu belajar daripada mentor masing-masing mengenai kefahaman teknikal lagu.

"Saya bukannya menghentam mereka. Tetapi kelemahan-kelemahan yang berlaku pada persembahan awal konsert perlu dijelaskan dengan nyata agar peserta tidak bersikap sambil lewa dalam pertandingan tersebut dan saya mahu bantu mereka.

"Bila menyanyi menggunakan melodi yang betul, keseluruhan lagu akan menjadi betul dan sedap didengar. Ini kerana dari melodi itu datangnya kemerduan.

"Biasanya, bila ada yang katakan nyanyian seseorang itu 'flat' atau 'sharp', mereka sebenarnya merujuk kepada melodi tetapi menggunakan bahasa ringkas.

"Setakat ini, mereka perlu banyak belajar dari segi penggunaan teknikal suara daripada mentor masing-masing kerana mereka masih baru," tegasnya selepas pertandingan Mentor tersebut, di Auditorium MBSA, Shah Alam, Ahad.

Tambah Ramli, pengetahuan yang diberikan itu sebenarnya akan dijadikan rujukan di masa akan datang dan teori tersebut akan digunakan selama penglibatan peserta tersebut dalam dunia nyanyian.

Pada pertandingan tersebut, Shiha yang membawakan lagu Menghitung Hari mendapat markah tertinggi iaitu 68 peratus diikuti pula dengan Ayish yang membawakan lagu Hanyut dengan 48 peratus. Manakala Ratnah yang menyanyikan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin pula memperoleh markah sebanyak 40 peratus.

Protege juga turut berduet dengan mentor masing-masing dimana Shiha dan Sharifah Aini membawakan lagu Rindu, Noh dan Ayish (Hijau) manakala Afdlin dan Ratnah (Sedang Ingin Bercinta).

Selain Ramli, penyanyi Ziana Zain menjadi juri undangan pada malam tersebut.

Sementara itu, Mentor yang mempunyai enam protege telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B. Pada Ahad ini, protege daripada kumpulan B pula akan bertarung.

Protege kumpulan B terdiri daripada Aiman (Rahim Maarof), Iqa (Edry Abdul Halim) dan Salma (Erra Fazira.)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain