suria

Doa Depan Kaabah Mamat Khalid Dimakbul

Mamat Khalid bakal meneruskan kesinambungan Kampung Pisang Foto The Star Shaari Che Mat
Mamat Khalid bakal meneruskan kesinambungan Kampung Pisang Foto The Star Shaari Che Mat
Mamat Khalid bakal meneruskan kesinambungan Kampung Pisang Foto The Star Shaari Che Mat

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKBR), Mamat Khalid mengakui sebab utama kejayaan filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung adalah kerana doanya di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah dimakbulkan Allah S.W.T.

Katanya, ketika berkesempatan menunaikan ibadah tersebut Januari 2010 lalu, dia berdoa agar salah satu filem arahannya mencapai kutipan 7 juta dan perkara itu benar-benar terjadi.

“Saya percaya doa itu dimakbulkan tapi ketika itu saya sangat berharap kepada filem Estet tapi rupanya Allah beri untuk filem HKBR.

“Ketika itu saya memang berdoa agar mencapai angka 7 juta dan tidak sangka ia menghampiri ke 8 juta. Saya sangat-sangat bersyukur doa itu termakbul,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Hantu Kak Limah Balik Rumah, di restoren Istana Bambu, Jumaat.

Bukan itu sahaja, menurut Mamat, selepas berjaya menarik penonton ke pawagam, HKBR juga mendapat permintaan tinggi di saluran Astro First.

Tambahnya, kejayaan filem ini membuatkan dia bersemangat untuk meneruskan kesinambungan siri Kampung Pisang sehingga tujuh siri.

“Filem bukan untuk sampaikan mesej tapi memberi kritikan sosial masyarakat kita. Saya menjadikan ia sebagai ruang untuk menegur apa yang kebiasaan dan amalan masyarakat kita.

“Insya-Allah untuk filem siri Kampung Pisang ini saya sudah rangka tujuh filem kesinambungannya. Selepas ini Husin, Mun dan Jin Pakai Toncet bakal menyusul,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah watak-watak utama akan dikekalkan dalam ketujuh-tujuh siri Kampung Pisang itu, Mamat berkata seboleh-bolehnya dia mahu mengekalkannya.

“Watak-watak utama dari siri Zombi Kampung Pisang hingga Hantu Kak Limah Balik Rumah dikekalkan dan membuat penambahan kepada beberapa watak baru,” katanya.

Sementara itu, Mamat turut mengakui cabarannya kini semakin besar bagi memberikan yang terbaik dalam setiap filem arahannya.

“Bila kita dah capai satu tahap seperti ini, pasti penonton akan menjangkakan yang lebih tinggi lagi.

“Itu merupakan cabaran berat buat saya untuk menjaga mutu dan kualiti filem –filem selepas ini,” katanya yang bakal keluar dengan filem Apokalips.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain