suria

Konsert Hore Hore Aznil Menghiburkan

KUALA LUMPUR: Pengacara Aznil Nawawi, 48, membuktikan dirinya merupakan seorang penghibur nombor satu negara apabila Konsert Hore Hore yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Sabtu, berjaya menghiburkan lebih lapan ribu pengunjung yang hadir.

Pada acara tersebut Aznil berjaya menyampaikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu-lagu popular Allahyarham Sudirman seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Pulang Dari Kilang, Dari Kerana Mata, Aku Penganggur dan Salam Terakhir.

Selain itu, segmen bersama penonton sangat menghiburkan apabila gelagat Aznil bersama beberapa penonton yang dijemput naik ke pentas mendapat perhatian penonton yang hadir.

Konsert berdurasi dua jam itu juga menampilkan beberapa artis undangan seperti Saiful Apek, Zahid Af2, Ana Raffali, Altimet dan Lan The Typewriter.

Sementara itu, Aznil yang ditemui selepas konsert tersebut menzahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan.

"Hari ini saya berjaya cabar diri sendiri untuk buat persembahan ini dan tidak menyangka ramai yang datang dengan membeli tiket.

"Biarpun hujan renyai-renyai mereka tetap menunggu sehingga konsert ni tama," katanya.

Tambah Aznil, cabaran utama adakah untuk menghafal semua lirik dan menyampaikan lagu dengan baik.

"Saya banyak kurangkan makan makanan berminyak, pedas dan banyak lagi pantang larang untuk menjaga suara.

"Alhamdulillah malam ini saya dapat sampaikan lagu itu dengan baik biarpun ada yang terlupa lirik," katanya.

Pada malam tersebut juga, Aznil mengambil peluang untuk memperkenalkan ahli keluarganya yang banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

"Saya rasa ini masa paling sesuai dan tepat untuk memperkenalkan Mereka kepada peminat saya. mereka merupakan tulang belakang kepada kerjaya saya selama ini.

"Mereka telah melalui pelbagai dugaan yang datang dari kontroversi saya, saya mahu kongsi rasa bangga ini bersama mereka," katanya.

Pada malam itu juga, Aznil bersama kumpulan Hero Malaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30,000 kepada seorang kanak- kanak yang menghidapi penyakit jantung berlubang.

Selain itu, pelbagai hadiah diberikan kepada pengunjung yang bertuah seperti barangan Habib Jewel bernilai RM 50,000, pakej Umrah dan sebuah kereta Myvi.

Konsert yang dianjurkan oleh RYE Production dengan kerjasama pihak Astro dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkonsepkan kekeluargaan dan ia diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain