suria

'Tidak Boleh Salahkan Suami Saya' - Enot

Enot menafikan punca mereka tersingkir adalah disebabkan oleh suaminya.
Enot menafikan punca mereka tersingkir adalah disebabkan oleh suaminya.
Enot menafikan punca mereka tersingkir adalah disebabkan oleh suaminya.

PERJALANAN pasangan suami isteri ini di dalam program realiti Sehati Berdansa nampaknya hanya mampu bertahan sehingga minggu ketiga saja.

Meskipun cuba mempamerkan persembahan sehabis baik saban minggu, namun pelakon Alliza Abdullah atau Enot dan Zainul Abidin (Zainul) terpaksa menerima hakikat penyingkiran mereka setelah menerima markah keseluruhan terendah berbanding tujuh pasangan lain.

Markah persembahan setiap peserta ditentukan oleh juri profesional sebanyak 50 peratus dan selebihnya berdasarkan undian penonton sama ada menerusi SMS atau talian tetap.

Pada minggu yang bertemakan tribut kepada Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad ini, barisan juri profesional terdiri daripada Aznil Nawawi dan koreografer A.Aris Kadir manakala Joseph Gonzales bertindak selaku juri tetap Sehati Berdansa musim ketiga ini.

Ditemui sejurus berakhirnya Debaran Sehati Berdansa pada Ahad lalu yang mengumumkan penyingkiran Enot dan Zainul, pelakon ini akui sudah menjangkakan mereka akan tersingkir kali ini setelah mendengar komen juri pada Malam Sehati Berdansa Sabtu lalu.

"Saya sudah boleh rasakan akan tersingkir minggu ini kerana juri ada mengatakan persembahan kami tiada peningkatan. Kalau diikutkan, saya sasarkan untuk bertahan sehingga minggu kelima dan ada juga berhasrat untuk sampai ke 'final'.

"Tapi nampaknya rezeki kami sampai minggu ini saja. Memang sayang sangat, sebab kalau boleh, saya ingin cuba pelbagai jenis tarian lain seperti Salsa. Saya nak buktikan badan besar seperti saya juga mampu menari," katanya dalam nada sebak.

Berdasarkan markah keseluruhan pada minggu tersebut, pasangan Dira dan Ash menerima kutipan markah tertinggi iaitu sebanyak 53.57 peratus, diikuti dengan Sazzy dan Nazril (51.21), Sein dan Nana (50.17), Isma dan Zul (49.49), Didie dan Sham (48.87), Oshin dan Firdaus (47.99), Mirnawan dan Norah (44.91) serta Enot dan Zainul (43).

Dengan penyingkiran Enot dan suaminya itu, pasangan tersebut hanya mampu mengumpul dana sebanyak RM3,000 kepada badan kebajikan yang mereka wakili di dalam program ini iaitu Yayasan Paru-Paru Malaysia.

Semua pasangan selebriti ini telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan persembahan terbaik pada setiap minggu di atas nama badan-badan kebajikan yang terpilih.

Pasangan yang tersingkir pada setiap minggu akan menyumbangkan wang tunai terkumpul kepada badan-badan kebajikan masing-masing yang mereka wakili. Jumlah wang akan meningkat selagi pasangan itu masih kekal di dalam pertandingan tersebut.

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang penyingkiran mereka minggu ini, Enot menafikan bahawa punca mereka tersingkir adalah disebabkan oleh suaminya sendiri, meskipun juri sering memberikan kritikan terhadap persembahan suaminya setiap minggu yang dilihat tidak mengikut tempo muzik ketika menari.

"Tidak boleh salahkan suami saya. Dia memang tidak pernah menari seumur hidup dia. Zainul sebenarnya tidak mahu pun sertai program ini, tetapi dia terima juga kerana saya. Dia memang susah sikit nak ikut tempo, apatah lagi dia pernah sakit sebelum ini.

"Apapun, kami tidak 'terasa' pun dengan kritikan juri. Malah, kami lebih 'terasa' apabila juri pernah memberikan kami markah yang agak tinggi sedangkan persembahan kami tidaklah begitu bagus pun.

"Itu membuatkan kami takut kerana kami tahu di luar sana ramai orang yang sering bercakap bahawa kami sepatutnya tersingkir awal," tutur Enot.

Zainul pula berkata, dia sudah cuba melakukan yang terbaik sepanjang tiga minggu berada di dalam program ini.

"Koreografer kami, Anuar, juga banyak membantu dan cuba hasilkan gerak tari terbaik untuk kami. Saya akui, ada pergerakan yang saya rasa susah dan tidak mampu untuk lakukan. Tetapi, saya tetap cuba berikan yang terbaik.

"Dan saya juga akui agak gementar ketika beraksi di pentas. Bila sesi latihan, saya rasa 'ok' saja, tetapi bila di pentas, saya memang jadi sangat gementar," ujarnya.

Sementara itu, koreografer pasangan ini, Anuar Abdul Kadir berkata, dia tidak menafikan Zainul mempunyai masalah dari segi tempo. Tetapi katanya, dengan tempoh latihan yang singkat saban minggu, Zainul telah menunjukkan usaha yang baik.

Malah, kata Anuar lagi, dia tidak pun rasa 'kecewa' pada awalnya apabila mendapat tahu Enot dan Zainul akan berada di bawah bimbingannya.

"Mereka ini diibaratkan 'harta' saya dan saya perlu 'menjaga' mereka. Bagi saya, Enot memang boleh menari, cuma masalah saya setiap minggu ketika lagu diberikan, saya perlu memikirkan terlebih dahulu kostum untuknya sebelum merancang tentang gerak tari.

"Zainul pula memang saya akui agak lemah dari segi pergerakannya. Tetapi saya lihat dia ada sedikit peningkatan setiap minggu. Lagipun, sesi latihan amat singkat.

"Tetapi saya kagum kerana dia tunjukkan usaha untuk buat pergerakan yang sukar. Tetapi selalunya, saya tidak mahu lakukan pergerakan itu supaya tidak nampak kelakar di mata penonton sewaktu mereka melakukan persembahan," kata Anuar.

Tujuh pasangan yang masih kekal di dalam program ini akan meneruskan perjuangan mereka minggu depan yang akan bertemakan Malam Pesta Muda Mudi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain