suria

Mini konsert Ella panas tapi macam 'tiada penghujung'

Ella dengan aksi bersahajanya pada mini konsert 'People & Places With PowerShot' yang berlangsung di Mist Club, Bangsar pada 16 Ogos lalu. - foto mStar online
Ella dengan aksi bersahajanya pada mini konsert 'People & Places With PowerShot' yang berlangsung di Mist Club, Bangsar pada 16 Ogos lalu. - foto mStar online
Ella dengan aksi bersahajanya pada mini konsert 'People & Places With PowerShot' yang berlangsung di Mist Club, Bangsar pada 16 Ogos lalu. - foto mStar online

RATU rock Malaysia, Ella, kembali dengan aksi bertenaga menghiburkan peminatnya di Mist Club, Bangsar dalam satu mini konsert 'People & Places With PowerShot' yang bermula pada jam 8.15 malam 16 Ogos lalu.

Biarpun persembahannya lewat 15 minit dari jadual asal, namun ia tidak memberi sebarang kecacatan dan masalah terhadap konsert malam itu yang sepatutnya dijadualkan bermula pada jam 8 malam.

Sekitar jam 7.30 malam penonton sudah mula memenuhi kelab tersebut dan di tingkat atas pula ditempatkan para tetamu serta penonton yang mempunyai pas VIP.

Tepat pada jam 8.15 malam, lagu pembukaan 'Bad Hair Day' dimainkan oleh band iringan yang dipimpin oleh Amir iaitu komposer yang mencipta dua buah lagu baru untuk Ella yang akan dimuatkan dalam album kompilasi 'Ella-Greatest Hits' yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Kemeriahan konsert mula terasa apabila Ella tampil dengan membawakan lagu 'PPP' (Permata Pemotong Permata) yang popular pada tahun 1994. Ditambah dengan 'lighting' yang sempurna dan sistem bunyi yang tidak mempunyai sebarang masalah membuatkan konsert ini lebih bertenaga.

Ella kemudiannya meneruskan persembahan dengan membawakan lagu 'Dua Insan Bercinta' yang dipopularkannya bersama kumpulan 'Ella And The Boys' pada sekitar tahun 80an.

Apa yang menarik tentang 'Ratu Rock' yang semakin lincah ini ialah tiada sebarang perubahan pada vokalnya biarpun umurnya kini sudah mencecah 43 tahun.

Persembahan pada malam itu bukan sahaja dihiburkan dengan lagu-lagu serta vokal mantap Ella, namun turut dihiburkan dengan gelagat manja Ella bersama para penonton yang begitu meminati penyanyi ini.

Malah ada penonton yang membawa t-shirt 'Ella USA' yang merupakan judul album Ella yang telah dirakamkan di Amerika Syarikat dan Jepun pada tahun 1994.

Ella meneruskan persembahan pada malam itu dengan lagu medley 'Sepi Sekuntum Mawar Merah/Pengemis Cinta' yang juga pernah dipopularkan pada sekitar tahun 80an.

Kesemua penonton yang hadir tidak jemu dan malu menyanyikan setiap lagu yang dinyanyikan Ella pada malam itu.

Bahang konsert terasa semakin hangat konsert pada malam itu apabila lagu 'Smell Like A Teen Spirit' yang dipopularkan oleh kumpulan rock Amerika, 'Nirvana' dinyanyikan oleh Ella sambil menampilkan adiknya, Korie untuk menghangatkan lagi konsert pada malam itu.

Tetapi sayangnya suara Korie tidak dapat didengar dengan jelas kerana ditenggelamkan dengan bunyi mikrofon Ella yang lebih kuat dari mikrofonnya.

Biarpun aksi yang dipamerkan kedua-dua adik beradik ini begitu bertenaga, namun gandingan suara mereka menjadikan lagu rock tersebut tidak seperti yang diharapkan. Ella kemudiannya meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu terbarunya 'Jiwa Setia', sebuah lagu baru yang akan dimuatkan dalam album kompilasi barunya.

Selepas tamat lagu tersebut, Ella bersama band iringannya meninggalkan pentas untuk berehat sebelum menyambung semula persembahan.

'Kekosongan' pentas tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya tayangan koleksi filem-filem yang pernah dibintangi ratu rock ini ditayangkan di skrin LCD untuk menghiburkan penonton.

Antara filem-filem yang pernah dibintangi Ella adalah Bayangan Maut (1990), Pemburu Bayang (1992) dan Hanya Kawan (1997).

Ketika ini para penonton menjerit-jerit melihat aksi lakonan Ella dalam tiga filem tersebut yang dilihat begitu berkesan tambah-tambah lagi ketika itu Ella digandingkan dengan pelakon lelaki seperti Awie dan Hans Isaac.

Setelah setengah jam tayangan itu berlangsung, Ella bersama band iringannya naik semula ke pentas dan kali ini pasti sesuatu yang lebih hangat diharapkan.

Lagu 'Mencari' yang juga merupakan lagu terbaru Ella menjadi lagu pembukaan selepas Ella berehat selama setengah jam.

Selepas itu, Ella sempat bergurau dengan para penonton dengan mengambil gambar para peminatnya menggunakan kamera digital Canon Powershot dimana konsert ini ditaja oleh Canon Marketing Malaysia (CMM).

Ella kemudiannya meneruskan konsert pada malam itu dengan menyanyikan dua lagu hitnya pada tahun 1998 dan 1989 iaitu 'Bayangan' dan 'Sembilu'.

Sekali lagi Korie naik ke pentas untuk bergandingan dengan kakaknya, dengan harapan mikrofonnya sudah boleh didengar kali ini.

Namun lagu duet yang pernah dipopularkan mereka 'Pergilah Sayang' pada tahun 1996 ini juga tenggelam kerana mikrofon Korie masih lagi mempunyai masalah dan hanya suara Ella jelas kedengaran.

Persembahan Ella diteruskan dengan lagu-lagu seperti 'Layar Impian' yang popular pada tahun 1993, 'Kesal' pada tahun 1991 dan sebuah lagi lagu baru 'Puisi Hamba'.

Kerancakan konsert tersebut tidak pernah berhenti kerana lagu-lagu yang dimainkan merupakan lagu-lagu hit Ella ditambah pula dengan aksi bertenaga dari persembahan dan vokal Ella membuatkan penonton tidak pernah berhenti melayan setiap lagu yang dimainkan.

Sehinggalah lagu 'Nuri' yang pernah popular pada tahun 1994 dinyanyikan Ella, kesemua penonton tidak berhenti menyanyi lagu tersebut dari mula hingga ke akhir lagu itu.

Tetapi sayangnya, sebaik sahaja tamat lagu 'Nuri' tersebut, kesemua penonton bagaikan terpinga-pinga apabila Ella hanya mengatakan "terima kasih" lalu meninggalkan pentas.

Kesemua penonton tertanya sama ada konsert itu telah pun berakhir atau belum. Mereka seperti tidak puas melihat Ella beraksi lagi dan sesetengah mereka menjerit "We want more".

Namun bagaimanapun, reputasi Ella yang digelar ratu rock ini masih lagi tidak boleh ditandingi kerana Ella masih lagi mempunyai sengatnya sehingga kini.

Meskipun penghujung konsert itu meninggalkan tanda tanya, namun keseluruhannya Ella berjaya menghiburkan kesemua penonton pada malam itu.

Ella juga tidak puas

Setelah selesai konsert pada malam tersebut, Ella turut menyatakan perasaannya yang juga tidak puas berada di atas pentas untuk menghiburkan peminatnya.

"Sebenarnya konsert malam ini lebih kurang macam 'soft launch' untuk saya bersama peminat dan kawan-kawan.

"Saya sendiri pun tak puas berada di atas pentas sebab terlalu cepat konsert ini berakhir dan tadipun saya ada dengar dari penonton yang menjerit-jerit mereka mahu lagi persembahan dari saya.

"Tapi saya akan buat big closing untuk konsert ini di Kuala Lumpur selepas selesai jelajah ke Sungai Petani, Pulau Pinang, Johor Bharu, Kuantan, Kuala Terengganu, Sabah dan Sarawak nanti," jelas Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin.

Ella bagaimanapun tidak mahu memberitahu tarikh untuk konsert di KL itu lagi kerana mahu membuat kejutan kepada semua peminatnya.

Selain itu Ella turut akan ke Tokyo, Jepun, selepas Hari Raya untuk melawat kilang Canon dan mengadakan 'mini show' di sana.

Artikel Lain