suria

Kaisara ingin rasai dunia percintaan

Sari Yanti terus kekal sebagai Kaisara - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Sari Yanti terus kekal sebagai Kaisara - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Sari Yanti terus kekal sebagai Kaisara - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

DRAMA bersiri Kisah Kaisara yang mendapat sambutan hangat sejak disiarkan kira-kira tiga tahun lalu kini bakal memasuki musim ketiganya yang akan ditayangkan di TV9 bermula 1 Julai ini.

Seperti dua musim terdahulu, Kisah Kaisara kali ini tetap memaparkan pelbagai isu yang berlaku sekitar pelajar sekolah yang bernama Kaisara dan rakan-rakannya seperti Dania, Amy dan Hana yang bakal berdepan dengan bermacam-macam konflik di dalam kehidupan mereka sebagai remaja.

Masih mengekalkan Sari Yanti yang memegang watak Kaisara, drama bersiri terbitan Ace Motion Sdn Bhd ini juga masih menyaksikan beberapa pelakon asal Kisah Kaisara seperti Wan Sharmila, Elliza, Faralyna dan pelakon-pelakon lain iaitu Ayu Shuhada, Catriona Ross dan Shahril.

Mengulas mengenai kelainan yang bakal disaksikan menerusi musim terbaru drama ini, kata pengarahnya Nyon Othman, Kisah Kaisara kali ini bakal menyaksikan karektor Kaisara yang lebih matang dan semakin bijak.

"Apa yang pasti, musim ini memang ada kelainan yang besar. Kaisara akan tinggal dengan ibu kandungnya pula kali ini setelah bapanya berkahwin lain. Di sini akan timbul konflik baru dalam hidup Kaisara yang perlu cuba membiasakan diri dengan kehidupan bersama ibunya.

"Kaisara juga sudah semakin matang. Malah, dalam musim ini, dia mula menunjukkan keinginan untuk bercinta sedangkan sebelum ini, Kaisara mempunyai prinsip tidak mahu bercinta ketika di bangku sekolah.

"Tetapi secara keseluruhannya, Kisah Kaisara masih memfokuskan kepada isu-isu seperti hubungan kekeluargaan, persahabatan serta percintaan," kata Nyon yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri itu di Sri Pentas, semalam.

Kisah Kaisara 3 pada keseluruhannya merupakan sambungan kepada musim kedua drama itu tidak lama dulu. Rentetan daripada musim lalu, setelah Hasnor, bapa Kaisara berkahwin dengan Marlia, Kaisara kini tinggal bersama Seri, ibu kandungnya yang meninggalkannya sejak kecil.

Walaupun pada awalnya dia berasa kekok, namun lama-kelamaan Kaisara mula selesa bersama ibunya. Pada masa yang sama, timbul keinginan di hatinya untuk merasai alam percintaan seperti gadis-gadis lain.

Tanpa disangka, kedatangan pelajar baru, Shahrin di kelas Kaisara telah menimbulkan pelbagai konflik dan kejadian lucu. Hana dan Amy yang menaruh minat terhadap Shahrin mula bersaing sesama sendiri.

Namun, disebabkan sikap Kaisara yang tenang dan matang dalam banyak perkara membuatkan Shahrin mula menyukainya dan mereka semakin akrab sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati Amy, Hana dan Dania.

Ditanya tentang sambutan hebat yang terus diterima terhadap drama ini, kata Nyon, dia sendiri tidak menyangka respon yang diterima cukup positif sejak ia mula disiarkan tiga tahun lalu.

"Saya dan produksi memang terkejut pada awal-awal dulu melihat sambutan yang memberangsangkan. Sebelum memulakan musim pertama dulu, saya agak risau juga untuk buat drama ini kerana ia berkisarkan tentang gadis remaja yang masih bersekolah.

"Tetapi ketika itu saya 'bawa' semula diri saya ke alam persekolahan agar dapat menghasilkan cerita budak sekolah yang nampak 'real'," katanya yang turut berharap agar Kisah Kaisara dapat diteruskan untuk musim seterusnya kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain