suria

Kedah Bakal Jadi Pusat Perikanan Antarabangsa Terbesar Asia Tenggara

Mukhriz Mahathir

QINGDAO (China): Kedah bakal menjadi pusat perikanan antarabangsa terbesar di Asia Tenggara khususnya bagi ikan tuna menerusi projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang akan dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat dari China.

Kerjasama antara syarikat Qingdao Lu Hai Feng Investment Co Ltd (Lu Hai Feng) yang berpangkalan di sini dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu akan melibatkan pelaburan awal bernilai kira-kira RM1 bilion dan menyasarkan pendaratan ikan sebanyak satu juta tan setahun.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, Lu Hai Feng mempunyai kepakaran dalam bidang perikanan terutamanya ikan tuna di mana syarikat itu menguruskan sebuah pelabuhan khusus untuk ikan tuna di sini.

"Pihak pentadbiran di bandar raya Qingdao dan Lu Hai Feng berminat untuk menggunakan Kedah sebagai pusat perikanan antarabangsa terutama bagi ikan tuna yang ditangkap di Lautan Hindi, yang mempunyai sumber ikan tuna yang banyak.

"Cadangan mewujudkan KIFT itu adalah sebagai akses ikan tuna yang ditangkap di Lautan Hindi untuk China khususnya Qingdao. Menerusi cadangan itu, ia boleh diproses di Kedah dan di hantar ke China melalui pelabuhan Qingdao," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek KIFT di sini, Selasa.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Abd Rahim Man dan Pengurus Besar Lu Hai Feng, Liu Jisheng, dengan disaksikan Mukhriz dan Datuk Bandar Qingdao Zhang Xinqi.

Mukhriz berkata Lu Hai Feng memilih Kedah kerana lokasi strategiknya di Utara Semenanjung yang boleh menerima ikan dari Lautan Hindi dan syarikat itu telah mendapat lesen untuk menangkap ikan laut dalam daripada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melibatkan 20 kapal.

"Setiap kapal bernilai RM100 juta, yang bermakna keseluruhan kapal bernilai kira-kira RM2 bilion. Dalam perancangan dan cadangan yang mereka kemukakan untuk pertimbangan kerajaan Kedah, nilai pelaburan peringkat awal mencecah RM1 bilion," katanya.

Menurutnya, perkara ini telah dibincangkan dalam majlis perancangan ekonomi negeri dan diluluskan majlis mesyuarat kerajaan negeri manakala lokasi yang dicadangkan ialah di Temengau berhampiran Kuala Kedah.

Mukhriz berkata projek itu melibatkan kerja menambak kawasan laut yang luas bagi membolehkan kapal laut berlabuh dan menurunkan ikan yang ditangkap di Lautan Hindi.

Selain itu, katanya, cadangan pembangunan KIFT akan turut memberi manfaat kepada nelayan tempatan kerana selain sektor perikanan laut dalam, ia juga melihat keperluan masyarakat nelayan tempatan yang lebih dekat dengan persisiran pantai.

"Saya juga bertanya kepada Persatuan Nelayan Kedah, yang apabila mereka dengar cadangan ini, mereka sangat mengalu-alukannya kerana ia membuka pasaran dan akses kepada teknologi, selain kita (kerajaan negeri) akan mewujudkan kemudahan yang lebih selesa, lebih sempurna untuk kegunaan mereka.

"Saya optimis ia akan beri suntikan baharu kepada industri perikanan kita bukan hanya Kedah tetapi seluruh Malaysia," katanya.

Projek berskala besar yang melibat beberapa fasa itu bakal mewujudkan lebih kurang 20,000 pekerjaan bernilai tinggi yang secara tidak langsung dapat membantu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri tersebut dan negara, katanya.

Menurutnya, projek KIFT tersebut akan dilakukan secepat mungkin dan kini kedua-dua pihak sedang menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan syarikat itu dan pihak berkuasa bandar raya Qingdao.

Sementara itu, Mukhriz berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah memeterai MoU Persahabatan dengan bandar raya Qingdao yang antara lainnya melibatkan sektor pelancongan iaitu pertukaran pelancong antara kedua-dua bandar raya itu.

MoU itu ditandatangani oleh Datuk Bandar MBAS Datuk Mat Noh Ahmad dan Naib Datuk Bandar Qingdao Liu Minjun.-- Bernama


Artikel Lain