suria

Wanita tular sebab tinggi rebah di riba adik, meninggal dunia lepas bergelar pengantin - “Kakak seronok dapat kahwin”

Scha dan suami melangsungkan perkahwinan pada 30 Januari 2025. Foto IG scha_yang /_azim.novela

WANITA yang tular di media sosial kerana ketinggiannya yang luar biasa dijemput Ilahi pada Khamis malam.

Lebih memilukan, wanita berkenaan, Nur Syahirah Saufi, 28, meninggal dunia selepas kira-kira seminggu bergelar isteri.

Khabar duka mengenai pemergian Nur Syahirah atau lebih dikenali sebagai Scha disahkan oleh adik perempuannya, Nur Syazwani Najihah, 18.

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Wani berkata, kakaknya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11 malam Khamis di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan.

"Pada Khamis malam saya berbual dengan kakak, dia tiba-tiba mengadu cakap sakit dada. Dia gosok-gosok dada dia sebelum rebah atas riba saya. Muka dia kebiruan.

"Kami buat panggilan kecemasan dan ambulans datang dan mengesahkan kakak sudah meninggal dunia. Kakak ada sejarah penyakit jantung," katanya ketika dihubungi.

Scha (dua, kiri) bersama keluarganya. Foto IG scha_yang

Bercerita lanjut, kata Wani, kakaknya yang dipanggil Kak Eyra dan mempunyai ketinggian 186 sentimeter itu pernah mengadu sakit dada selepas melangsungkan perkahwinan di Kota Bharu, pada 30 Januari lalu.

"Pada 3 Februari lalu, kakak juga mengadu sakit dada. Bila pergi klinik, doktor kata ada bengkak.

"Kakak makan ubat dan rehat. Kakak ada mengadu penat seharian masa kahwin hari tu," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Popular sebab tinggi di sekolah, ‘panje’ mengaku bukan sahaja susah cari jodoh tapi nak dapat saiz baju, kasut pun payah!

Menyifatkan arwah sebagai seorang yang pemurah, Wani bagaimanapun reda dengan pemergian kakaknya sebagai ketentuan Ilahi.

"Kakak seorang yang mengutamakan keluarga. Dia suka membantu dan tak pernah berkira.

"Kawan-kawan pun dia rajin tolong. Kakak seorang yang merendah diri dan peramah," katanya.

Scha dan suami masing-masing mempunyai ketinggian 186cm dan 195cm. Foto IG scha_yang /_azim.novela

Tambah Wani, hubungan akrab dengan kakaknya yang merupakan perunding kecantikan dan model membuatkan kedua-dua mereka berkongsi banyak perkara.

"Memang sedih kehilangan kakak, lebih-lebih lagi kami rapat. Kakak sempat honeymoon dengan abang ipar di Kota Bharu.

Memang sedih kehilangan kakak, lebih-lebih lagi kami rapat.

NUR SYAZWANI NAJIHAH SAUFI

ADIK

"Tak ada apa-apa yang berbeza sebelum kakak pergi, kecuali dia luahkan rasa sangat gembira selepas berkahwin. Dia kata seronok dan gembira dapat kahwin.

"Kakak juga kata dia seronok dapat pergi honeymoon, suami layan kakak dengan baik. Masa kakak sakit dada pun, suami dia tolong urutkan," katanya, merujuk kepada abang iparnya yang juga tinggi, dengan ketinggian 195cm.

Scha dikenali sebagai seorang yang pemurah dan peramah.

Scha yang merupakan anak kedua daripada empat beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sering, Kota Bharu, selepas solat Jumaat.

Untuk rekod, mStar pernah melaporkan kisah tular mengenai ketinggian Scha pada Jun 2021, yang mana sering mendapat perhatian ramai apabila setiap kali keluar rumah.

Menurut Scha, kesemua adik-beradiknya mengikut baka ibu mereka yang memiliki ketinggian 171cm, dengan abangnya yang paling tinggi dalam keluarga iaitu 193cm.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain