suria

Seminggu kahwin momen terindah! Suami wanita tinggi tak sangka hadiah potret arwah mak ayah petanda isteri akan ‘pergi’

Syahmi dan Scha berkahwin selepas dua tahun perkenalan. Foto IG scha_yang /_azim.novela

PEMERGIAN Nur Syahirah Saufi, 28, yang meraih perhatian rakyat Malaysia kerana mempunyai ketinggian luar biasa ternyata mengejutkan ramai, terutamanya 87,000 pengikutnya di laman TikTok.

Apa yang pasti, selain ahli keluarga, individu yang paling terkesan dengan berita duka ini adalah suaminya. Muhammad Syahmi Zulkefli, 26.

Lebih menyentuh hati, Muhammad Syahmi dan Nur Syahirah atau lebih dikenali sebagai Scha baru mendirikan rumah tangga minggu lalu, iaitu pada 30 Januari.

Syahmi dan Scha melangsungkan perkahwinan pada 30 Januari 2025. Foto IG scha_yang /_azim.novela

Mesra disapa Syahmi, dia memaklumkan isterinya meninggal dunia akibat serangan jantung di kediaman keluarga mentua di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira pukul 11 malam Khamis.

Mengenali Scha selama dua tahun sebelum mengahwini wanita teristimewa itu, Syahmi tidak menyangka usia perkahwinan mereka begitu singkat.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tular sebab tinggi rebah di riba adik, meninggal dunia lepas bergelar pengantin - “Kakak seronok dapat kahwin”

ARTIKEL BERKAITAN: Popular sebab tinggi di sekolah, ‘panje’ mengaku bukan sahaja susah cari jodoh tapi nak dapat saiz baju, kasut pun payah!

"Ya Allah, saya tak tahu nak kata apa, nak gambarkan macam mana. Saya sayangkan isteri saya dan momen kami sebagai suami isteri sememangnya yang terindah.

"Setiap manusia bukanlah sempurna tapi bagi saya, dia cukup segala-galanya buat diri saya. Dialah wanita yang memberi kebahagiaan kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar.

Scha menghembuskan nafas terakhir pada 6 Februari 2025.

Dilihat sebagai pasangan paling sepadan memandangkan Syahmi dan Scha masing-masing berketinggian 195 sentimeter (cm) dan 186cm, lelaki itu berkata arwah berjaya melembutkan hatinya dalam banyak perkara termasuklah bab bergambar.

"Saya ni jenis tak suka bergambar. Dua bulan sebelum kahwin, dia ada beritahu saya yang dia nak ambil gambar kami berdua banyak-banyak untuk dijadikan kenang-kenangan.

"Sejak kahwin sehingga hari dia meninggal dunia, banyak gambar kahwin kami yang dia post (di Instagram). Dia berjaya melembutkan hati saya untuk rajin bergambar," ujarnya yang berasal dari Paka, Dungun di Terengganu.

Syahmi bahagia bersama Scha.

Menyifatkan Scha sebagai wanita yang amat baik, pekerja di sebuah syarikat swasta itu berpeluang untuk menikmati bulan madu bersama arwah di Kota Bharu.

Malah katanya, ia merupakan pemberian hadiah terakhir daripada arwah.

Dia cukup segala-galanya buat diri saya. Dialah wanita yang memberi kebahagiaan kepada saya.

MUHAMMAD SYAHMI ZULKEFLI

SUAMI

"Sebelum dia pergi, semasa kami honeymoon... dia ada beri hadiah iaitu lukisan potret yang memaparkan wajah kami berdua serta arwah ibu bapa saya. Saya anak yatim piatu.

"Mula-mula dia cakap orang beri. Masa 'unboxing' hadiah tu, rupa-rupanya dia beri kepada saya sebagai suami," katanya yang merupakan anak keempat daripada lapan beradik.

Hadiah potret yang memaparkan wajah Syahmi dan isteri serta kedua-dua arwah ibu bapanya.

Mengakui masih bersedih dengan pemergian isteri, kata Syahmi, terdapat beberapa perkara yang tidak sempat dilakukan memandangkan usia perkahwinan mereka amat singkat.

"Saya tak sempat tunaikan impian dia untuk berjalan-jalan jauh ke Kuala Lumpur dan negara jiran, Thailand. Saya pula tak sempat rasa masakan dia selepas berkahwin.

"Sebelum kahwin, dapat juga rasa dia masak nasi goreng dan ayam masak pedas. Seminggu kami jadi suami isteri, saya anggap ia sebagai momen paling bermakna," katanya.

Untuk rekod, mStar pernah melaporkan kisah tular mengenai ketinggian Scha pada Jun 2021, yang mana sering mendapat perhatian ramai apabila setiap kali keluar rumah.

Menurut Scha, kesemua adik-beradiknya mewarisi baka ibunya yang memiliki ketinggian 171cm, dengan abangnya yang paling tinggi dalam keluarga iaitu 193cm.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain