DRAMA 'Curang Tanpa Niat' yang sedang ditayangkan di televisyen ketika ini ternyata mencetuskan fenomena.
Mengisahkan pengkhianatan seorang suami terhadap isteri yang setia gara-gara terjerat dalam hubungan gelap dengan rakan sekerja, drama itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam di hati penonton khususnya wanita.
Seperti kisah dalam drama lakonan Shukri Yahya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah, rumah tangga wanita ini juga diuji dengan kecurangan suami yang menjalinkan hubungan cinta bersama kekasih gelap yang dikenali di laman TikTok.
"Selama ini hanya tengok drama dan baca kisah mengenai penyondol, rupanya terkena batang hidung sendiri," ujar wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Naura kepada mStar.
Menurut Naura, mahligai yang dibina sejak tiga tahun lalu kini dilanda badai selepas suaminya menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang dikenali hanya sekitar dua bulan.
Kebanyakan rumah tangga hancur kerana kehadiran orang ketiga. -Gambar hiasan
"Sebelum itu dia beritahu nak pergi kerja, tapi saya check menerusi aplikasi, rupanya dia melencong ke pusat beli belah terkenal di bandar tempat tinggal kami.
"Apabila saya buat pemeriksaan telefon bimbit suami ketika dia tidur pertengahan Januari lalu, segala-gala terbongkar. Mesej di WhatsApp ada perbualan mesra antara mereka.
"Malah suami pernah menempah bilik hotel untuk wanita tersebut dan mereka check-in bersama," ujarnya yang merupakan penjawat awam di selatan tanah air.
ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin muda nak lari dari famili bermasalah, suami pula curang! Wanita akur balik semula ke rumah mak ayah toksik
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dah lali suami curang... Siap bawa skandal balik rumah zina di segenap ruang, atas sofa pun jadi! Kini atur strategi nak cerai
Menurut wanita ini, suaminya mengakui perkara berkenaan dan meminta maaf di atas keterlanjuran perbuatannya.
"Malah wanita itu, pelajar jurusan jururawat di institusi kementerian kesihatan turut meminta maaf dan beritahu tak tahu status suami saya.
"Saya tak jadi nak bercerai sebab lembut hati. Tapi selepas kali kedua kantoi, dan wanita itu sebenarnya tahu suami saya dah kahwin, saya tak boleh terima.
"Suami dan saya bergaduh dan dia tak mahu lepaskan saya. Dia sayang dua-dua. Tapi mana mungkin saya boleh terima wanita sebegitu sebagai madu," ceritanya.
Betapa teruk apa yang saya hadapi, sampai saya terpaksa pergi jumpa pakar kaunseling.
NAURA
Tidak berdiam diri, Naura membuat laporan polis dan menghantar emel kepada pengurusan kolej tempat wanita berkenaan belajar, agar perkara tersebut diambil perhatian untuk tindakan selanjutnya.
Mengakui apa yang berlaku terlalu memeritkan, Naura berkata dia terpaksa melakukan keputusan berat iaitu melepaskan kerjaya yang dicintai dan pulang ke rumah orang tuanya yang terletak di negeri lain.
"Saya tak boleh stay lagi di rumah kami. Mental saya kalau masih terus di sana. Betapa teruk apa yang saya hadapi, sampai saya terpaksa pergi jumpa pakar kaunseling.
"Bayangkan, kerana seorang penyondol, bukan rumah tangga saja yang runtuh, malah karier saya juga musnah," ujarnya.
Tambah Naura, ketika ini dia cuba bangkit dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan.
Banyak pendedahan di media sosial mengenai kes pasangan curang sehingga tahap melakukan perbuatan terkutuk. -Gambar hiasan
"Saya sedang menguruskan dokumentasi untuk penceraian dan dalam masa yang sama sedang mencari pekerjaan baharu.
"Tak sangka saya sedang berdepan dengan masalah yang selama ini berlaku pada orang lain.
"Saya kongsi kisah ini agar wanita tersebut akan diambil tindakan, selain mahu menghantar mesej kepada masyarakat.
"Kepada wanita, usahlah kacau dan masih memilih untuk meneruskan hubungan dengan lelaki orang jika dah tahu lelaki itu sudah berpunya.
"Kepada lelaki pula, hargailah perempuan yang sudi bersama anda sewaktu sama-sama susah dahulu, jangan upa daratan bila dah senang," akhirinya.