suria

Jurufoto tolak pengantin jatuh parit kemudian gelak, pihak penyewa busana naik angin klien lain pula nak pakai

Pengantin terjatuh dalam parit selepas ditolak jurukamera.

TULAR rakaman aksi tak dijangka apabila seorang jurufoto perkahwinan bertindak menolak pengantin lelaki ke dalam parit ketika sesi fotografi berlangsung di sebuah kawasan kampung.

Dalam video yang kini meraih lebih 1.6 juta tontonan selepas dimuat naik di akaun Shaffat.as, pengantin lelaki itu kelihatan sedang 'posing' di atas titi kecil mengikut arahan jurufoto sambil disaksikan pengantin perempuan.

Namun, detik romantis bertukar cemas apabila jurufoto tiba-tiba menolaknya dari belakang, menyebabkan dia terjatuh ke dalam parit yang airnya keruh, di kejadian dipercayai berlaku di Kelantan.

"Bila kau jadi cameraman," tulis jurufoto itu pada video yang dimuat naik.

Dia dilihat hanya ketawa apabila pengantin berkenaan terjatuh, namun pihak yang menyewakan busana songket kepada pengantin sama sekali tidak bersetuju dengan tindakannya.

Baju dipakai pengantin basah sepenuhnya.

Melalui ruangan komen, Tepak Sireh Bridal meluahkan rasa kecewa mereka kerana aksesori yang dipakai pengantin tidak boleh terkena air.

Malah, tanjak dan kebanyakan perhiasan pengantin dikatakan mempunyai cara penjagaan tersendiri dan cucian khas supaya tahan lama serta bagi mengelakkan ia rosak.

"Kenapa abang kameraman buat macam tu. Tu baju saya. Rosak la tanjak basah macam tu. Tanjak dan aksesori tak boleh kena air. Allahu. Sudah la pengantin pakai baju baharu.

"Pengantin tak tahu kena tolak. Tak rancang pun dia (pengantin) cakap. Baju tu tak apa... tapi tanjak, bengkung dan aksesori tu awak. Ia tak boleh kena air. Ada cara nak cuci.

"Kalau rendam macam tu dengan air ia akan jadi lembik sebab dalam tu ada kadbod dalam tanjak tu. Nanti dah lembik tak boleh pakai," ujarnya, kesal.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula jadi pengapit, kini tawar servis ‘bride assistant’ untuk pengantin... Wanita ini bijak teroka peluang kerjaya baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Wedding planner demam 3 hari tengok baju sewa dipulangkan pengantin, kotor melampau... tertanya photoshoot di mana?

Lebih memburukkan keadaan, seorang pelanggan yang sudah membuat tempahan menyewa busana sama pada minggu hadapan turut menghubungi penyewa bertanyakan tentang persalinan yang akan dipakainya.

"Salam kak, jangan kata ini (tunjuk video) baju saya nanti," tulis pelanggannya menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.

Menyedari kekecohan yang timbul di media sosial, jurufoto berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.

Shaffat dalam hantarannya mengakui dia telah melakukan kesilapan dan bersedia membayar segala ganti rugi disebabkan tindakannya itu.

Saya sendiri terkejut tengok video. Saya dapat info tu daripada sepupu yang tertengok video.

PEMILIK TEPAK SIRIH BRIDAL

"Pertama sekali saya nak minta maaf 1000 kemaafan atas apa yang terjadi atas kecuaian dan kesilapan kami. Saya sudah mesej dan hubungi pengantin.

"Saya harap Mamaqi (panggilan kepada bridal) boleh maafkan kami dan akan ganti rugi atas kerosakan yang berlaku dan kita boleh berbincang.

"Saya pun sudah berbincang dengan pengantin lelaki. Harap Mamaqi maafkan kecuaian dan kesilapan kami," tulisnya dalam mesej dihantar kepada penyewa baju pengantin.

Dalam hantaran berasingan, pihak penyewa menegaskan bahawa kejadian ini bukanlah satu gimik atau 'content' yang dirancang semata-mata untuk meraih perhatian.

Antara tangkap layar dikongsikan bridal.

"Yang mana kata tu rancangan kami, content semata-mata... minta maaf awak salah faham. Saya sendiri terkejut tengok video. Saya dapat info tu daripada sepupu yang tertengok video.

"Dia hantar video tu kepada adik saya yang merupakan pekerja saya untuk pastikan betul ke busana dipakai pengantin tu milik bridal saya.

"Saya tak pernah terlintas di hati nak mengejar followers semata-mata dengan content tak bermanfaat. Jujur saya beritahu pada ketika dan saat ini saya memikirkan fasal pengantin saya yang akan pakai baju tu minggu depan.

"Keadaan baju saya tak tengok lagi disebabkan majlis baru berlangsung pada Ahad (19 Januari). Saya tunggu pengantin datang jumpa dan hantar baju pada saya," jelas bridal itu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain