suria

Pengantin kuatkan diri berarak ke pelamin selepas kemalangan... Ramai tak perasan naik troli, sangka berjalan macam biasa

Pasangan ini ceria melangsungkan majlis perkahwinan.

DEBARAN menjelang hari perkahwinan tentunya amat dirasai oleh bakal pengantin.

Namun bagi seorang wanita yang bakal bergelar pengantin, dia diuji apabila terbabit dalam kemalangan menyebabkan dia menghadapi kesukaran untuk berjalan.

Sebagai penyelesaian kepada masalahnya, wanita ini menaiki troli yang ditolak ketika berarak masuk ke dewan persandingan.

Menerusi video yang tular di media sosial, rata-rata netizen kagum apabila pengantin itu tidak nampak seperti sedang duduk di troli, sebaliknya kelihatan seperti berjalan di sisi pasangan sebagaimana dilakukan pasangan mempelai lain.

Pengantin lelaki, Muhammad Ezam Roslan berkongsi cerita mengenai majlis persandingannya di Kompleks Sukan Kulim Hitech di Kulim, Kedah pada Ahad.

Pemuda berusia 22 itu menjelaskan bahawa dia dan isteri, Nurin Anis Syazwani Mohamad Yazan, 22, sudah pun bernikah pada 2 Disember tahun lalu.

pengantin troli 4 W

Kemalangan yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.

Tanpa diduga, pasangan ini yang merupakan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jambatan Pulau Pinang pada petang 9 Mei lalu.

“Ketika kejadian, kami berdua menaiki kereta dalam perjalanan ke USM dari rumah di Kulim, Kedah untuk mengikuti kuliah. Baru je lalu kawasan jambatan, di Kilometer 2.1, kereta yang dinaiki kami dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang ketika jalan mula sesak di hadapan.

“Kereta berpusing 180 darjah hingga mengalami kerosakan teruk (total loss). Saya pengsan dan hanya sedar di tepi jambatan selepas diangkat keluar dari kereta,” katanya kepada mStar.

pengantin troli 1 W

Pasangan ini berarak ke pelamin.

Akibat kejadian itu, pemuda yang mesra disapa Ezam ini berkata, dia mengalami kecederaan di bahagian betis dan kepala serta lebam di lengan.

Bagaimanapun, keadaan isteri lebih membimbangkan kerana bukan sahaja mengalami lebam pada lengan, malah rusuk kanan retak dan urut lutut putus.

pengantin troli 7

Pengantin perempuan dipapah naik ke pelamin.

“Isteri dimasukkan ke hospital dan terlantar di wad selama 12 hari. Nak buat imbasan X-ray pun tak boleh disebabkan isteri disahkan hamil dua bulan ketika itu.

“Kaki isteri rasa lemah, sejuk dan bengkak. Isteri tak boleh bergerak sendiri. Dia terpaksa mengambil ubat tahan sakit,” ujarnya sambil menambah dia menyambung pengajian Ijazah Sarjana Teknologi (Persekitaran), manakala isteri mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan.

pengantin troli 2 W

Troli yang diubah suai untuk kegunaan pengantin.

Berkenalan ketika sama-sama menyambung pengajian di USM pada 2022, Ezam yang berasal dari Sungai Petani. turut menjelaskan bahawa majlis persandingan pada Ahad diteruskan kerana rancangan sudah dibuat awal dan jemputan sudah dikeluarkan kepada para tetamu.

“Kami berdua masih pelajar, jadi kebanyakan masa di universiti. Perlukan masa untuk persiapan. Ingatkan nak prepare masa cuti semester seminggu tapi tak sangka ‘cuti’ di hospital.

Alhamdulillah, saya ada suami yang terima kurang dan kelemahan saya.

NURIN ANIS SYAZWANI MOHAMAD YAZAN

PENGANTIN PEREMPUAN

“Majlis juga diteruskan dan tentatif diubah demi menunaikan hajat isteri yang mahu naik pelamin. Keluarga isteri terfikir untuk ubah suai troli angkut barang yang dipasang skru pada rak untuk isteri duduk di atasnya.

“Jadi, isteri berarak masuk ke dewan dengan troli yang ditolak, sebelum saya dan rakan-rakan perempuannya memapah di pelamin,” katanya sambil bersyukur kerana dia, isteri dan kandungan selamat dalam kemalangan itu.

pengantin troli 3 W

Ezam dan Anis (tengah) bersama ibu bapa di pelamin.

Sementara itu, pengantin perempuan yang mesra disapa Anis mengakui sebak kerana majlis perkahwinan impiannya berkonsepkan Inggeris berjalan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lelaki kiriman Tuhan’ pernah menangis, cair dengan wanita tanpa tangan! Mesej nak berkenalan hanya dibalas selepas 2 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Akad nikah paling ‘rare’, pengantin lelaki hanya terbaring atas katil hospital... Isteri pula dipuji, tetap setia di sisi suami

Menurutnya lagi, segala idea dan kreativiti dikongsi bersama perancang perkahwinan bagi merealisasikan impiannya itu.

pengantin troli 6

Ezam dan Anis bersyukur majlis perkahwinan berjalan lancar.

Malah, Anis yang masih belum pulih akibat kemalangan itu bersyukur kerana dikurniakan kekuatan untuk naik ke pelamin demi suami tercinta.

“Tentunya pada awalnya saya sedih dan terkilan kerana 12 hari di wad dengan majlis kahwin nak dekat. Saya tak nak menyusahkan semua. Bila tengok ada troli, saya lebih yakin untuk ke majlis.

“Saya kuat sebab ada suami juga. Dia penyebab saya kuat untuk berdiri, sentiasa ada di samping saya dan letakkan semua kekuatan kaki kanan saya yang sakit tu pada suami sepenuhnya.

“Dia jaga saya dari awal sampai habis langsung dan tak segan dengan kekurangan saya. Alhamdulillah, saya ada suami yang terima kurang dan kelemahan saya,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain