suria

‘Lelaki kiriman Tuhan’ pernah menangis, cair dengan wanita tanpa tangan! Mesej nak berkenalan hanya dibalas selepas 2 tahun

Zul (kiri) dan Norfarrah kini bergelar suami isteri.

"LELAKI hebat kiriman Tuhan."

Demikian antara komen rata-rata netizen yang menyaksikan video pernikahan seorang jejaka bersama pengantin perempuan yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan.

Kisah pengantin perempuan, Norfarrah Syahirah Shaari menjadi perhatian kerana kecekalan dan semangatnya menjalani kehidupan seharian sebagai orang kurang upaya (OKU).

Ini termasuklah perkongsian pengalaman wanita ini memandu kereta menggunakan kaki.

Bercakap kepada mStar, pengantin lelaki, Zulfadli Syahrul bersyukur selepas selamat melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya di Bagan Datuk, Perak pada Ahad.

"Alhamdulillah, kami bernikah dengan sekali lafaz. Dia akhirnya menjadi isteri saya setelah setahun berkenalan.

"Saya akui sebak ketika melafazkan taklik selepas akad nikah. Saya bersyukur kami menjadi suami isteri dan saya anggap dia sebagai jodoh jatuh dari langit," katanya ketika dihubungi.

Zul sebak ketika melafazkan taklik.

Mengimbas kembali detik perkenalan, dia yang mesra disapa Zul berkata, dia mula terpikat sewaktu menyaksikan salah satu video yang memaparkan Norfarrah di YouTube.

"Masa tengok dia menerusi video di YouTube, saya kata awek ni comel, cantik. Saya cuba untuk berkenalan dengan menghantar mesej kepadanya di Instagram dan Facebook.

Isteri saya sebenarnya adalah super woman, dia ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

ZULFADLI SYAHRUL

"Tiga kali saya cuba tapi mesej tidak berbalas. Hanya selepas lebih dua tahun iaitu kira-kira dua hari menjelang Hari Raya Aidiladha tahun lepas barulah dia membalas mesej saya.

"Saya serius untuk berkenalan dengan dia, saya datang ke rumah keluarganya di Bagan Datuk pada petang Hari Raya Aidiladha itu," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Pasangan ini selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz. -Gambar FB/IG Lensamanja

Jauh di sudut hati, Zul mengakui dia sebelum ini nekad mahu serius dalam perhubungan dan mengimpikan perkahwinan yang bahagia.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita viral pandu kereta tanpa tangan bertunang, bakal mentua sarung gelang emas di kaki

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh rahsia Allah, lelaki ini pilih wanita kerdil jadi suri hati... Rupanya nasi goreng udang jadi penambat perut encik suami

"Sebelum ini, saya pernah 'healing' seorang diri, malah berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan jodoh.

"Di saat dia membalas mesej saya dan menyatakan kesudiannya untuk berkenalan, saya anggap Allah gerakkan hati saya untuk melihat dia adalah jodoh saya," katanya sambil menambah majlis persandingan dibuat pada hari yang sama di Bagan Datuk.

Zul menerima Norfarrah seadanya sejak dari awal perkenalan.

Menurut Zul, dia langsung tidak melihat kekurangan pada Norfarrah sebagai 'batasan' untuk berkenalan dan seterusnya bertunang pada 20 November 2022.

"Saya tak nampak dan tak pernah memikirkan kekurangan pada dirinya. Dengan hanya menggunakan kaki, dia mampu melakukan banyak perkara seperti orang lain.

"Isteri saya sebenarnya adalah super woman, dia ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri," katanya yang berniaga sendiri.

Zul dan Norfarrah berkahwin selepas setahun perkenalan. -Gambar IG/FB Lensamanja

Mengulas lanjut, sifat lemah-lembut Norfarrah ternyata berjaya menawan hatinya untuk dijadikan sebagai isteri.

"Paling buat saya cair adalah dia pandai memujuk. Kalau nak digambarkan, cara dia lembutkan hati seseorang macam budak kecil yang belajar berjalan sambil pujuk mak ayah.

"Cara memujuk dia memang sangat comel. Berselisih faham dengan pasangan adalah perkara biasa dan kami juga pernah melalui situasi itu.

"Tapi dia pernah pandu kereta dari Bagan Datuk ke Kuala Lumpur semata-mata nak pujuk saya. Jatuh air mata jantan saya melihat kesungguhan dia," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain