suria

Akad nikah paling ‘rare’, pengantin lelaki hanya terbaring atas katil hospital... Isteri pula dipuji, tetap setia di sisi suami

Pernikahan dilakukan dengan pengantin lelaki baring di atas katil hospital.

KETIKA menjelang hari bahagia, pasangan ini diduga dengan ujian yang sangat berat.

Bukan duduk seperti kebiasaan, seorang pengantin lelaki terpaksa bernikah dalam keadaan berbaring di 'katil hopital' sambil disaksikan para tetamu.

Hanya Tuhan saja yang tahu kesakitan yang dialaminya, namun ia langsung tergambar pada riak wajahnya.

Sebaliknya, yang terukir hanyalah senyuman manis dan ceria bagi pasangan yang baru diijab kabul sebagai suami isteri ini.

Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Lala berkata, dia selamat bernikah dengan jejaka pilihan hatinya di Kedah, pada Ahad lalu.

Pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 26 Februari 2023.

Berkongsi cerita lanjut, Cik Lala berkata suaminya terpaksa melakukan akad nikah dalam keadaan baring kerana mengalami patah tulang pinggung akibat kemalangan jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya nak nikah tahun kelima, dia minta tunggu" - Pengantin lelaki sebak... selepas 10 tahun sabar, kekasih kini jadi isteri

ARTIKEL BERKAITAN: 8 kali tangguh kahwin, pengantin lelaki menangis 2 kali di majlis nikah sebelum buat kejutan kereta Mustang untuk isteri - "Dia nak pujuk, saya asyik down je"

Menurut wanita itu, ketika kejadian suaminya dalam perjalanan dari kampung di Kedah ke Kuala Lumpur, pada awal bulan ini.

"Kemalangan berlaku ketika hujan. Dia brek dan terbabas. Tulang pinggul dia patah.

"Suami dipasang antena (pin penyokong) pada badan dia, itu yang membuatkan dia tak boleh bergerak. Tak boleh duduk atau berdiri," katanya ketika dihubungi mStar.

Mengulas lanjut, mereka sepatutnya dijadualkan bernikah pada 4 Mac depan di tempat keluarganya di Perak, namun pernikahan dan lokasi ditukar ke kediaman keluarga suaminya di Kedah.

Majlis pernikahan diadakan di kediaman pihak keluarga lelaki.

"Kalau nak teruskan majlis nikah pada 4 Mac, kasihan kat dia (suami) dalam keadaan macam tu untuk ke Perak.

"Jadi saya usaha untuk tukar lokasi ke Kedah sebab kami tak nak tangguh (nikah). Maksudnya kenduri bagi pihak keluarga saya minggu depan tak ada la kiranya," tambahnya.

Saya pernah susah dan sakit, dan selama itu dia (suami) yang banyak menolong.

CIK LALA

Walaupun hebat rintangan yang dihadapi, kata Cik Lala, dia bersyukur kerana selamat bergelar isteri kepada jejaka yang dilkenalinya selama lima bulan, dengan sekali lafaz.

"Suami ambil masa untuk sembuh. Alhamdulillah, lain-lain semua sihat walafiat. Dia cuma tak boleh bangun je buat sementara waktu," katanya yang merujuk kepada pemasangan pin penyokong (antena) pada badan suaminya untuk memperbetulkan posisi tulang dan mengehadkan pergerakan.

Dalam pada itu, wanita ini berharap kisah pernikahannya menjadi pengajaran kepada masyakat terutama pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga.

"Saya pernah susah dan sakit, dan selama itu dia (suami) yang banyak menolong. Kali ini adalah giliran saya untuk setia bersama dengannya ketika susah dan sakit," ujarnya lagi.

Antara komen netizen.

Kisah pengantin ini menjadi tular selepas pernikahan mereka dikongsi menerusi akaun TikTok @afeefzakaria meraih lebih 2.2 juta tontonan, dalam tempoh kurang 24 jam.

"Menyaksikan kisah cinta sejati hari ini," tulisnya.

Di ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan ketabahan pasangan pengantin ini, dan mendoakan si suami diberi kesembuhan segera serta kebahagian rumah tangga mereka.

"Satu dalam sejuta ada perempuan macam ni.

"Apabila kita mencintai dengan seikhlas hati.

"Allahuakbar... dugaan yang datang, tiada siapa yang menduga. Tahniah dan semoga terus diberi kekuatan untuk membina rumah tangga yang bahagia," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain