suria

[V] “Saya nak nikah tahun kelima, dia minta tunggu” - Pengantin lelaki sebak... selepas 10 tahun sabar, kekasih kini jadi isteri

Najmi tidak dapat menahan sebak sejurus akad nikah selesai. foto instagram FitrinRuslee.Production

PENGANTIN menangis teresak-esak di majlis pernikahan pastinya mengundang sebak tetamu yang bertandang.

Bukan mudah untuk melihat lelaki mengeluarkan air mata, apatah lagi di khalayak ramai.

Namun menerusi satu video yang tular di laman sosial, perasaan sayu itu dilepaskan saja oleh seorang pemuda sebaik selesai akad nikah.

Bercakap kepada mStar, pengantin lelaki berkenaan, Nur Alif Najmi Asri berkata, majlis pernikahannya berlangsung di Teluk Intan, Perak pada Isnin lalu.

Pemuda berusia 26 tahun itu mengakui tidak dapat menahan sebak kerana bersyukur akhirnya bergelar suami kepada wanita yang dicintainya sejak sedekad lalu.

"Kami kenal dari sekolah menengah. Bercinta selama 10 tahun. Selesai je akad, terdetik dalam hati selepas 10 tahun akhirnya dia sah menjadi milik saya.

"Walaupun bercinta lama, tapi perasaan berbeza apabila akad nikah, sesuatu yang baharu. Fasa saya jaga dan bimbing dia dengan tanggungjawab," katanya ketika dihubungi mStar.

pengantin lelaki menangis 4

Pasangan ini bernikah pada 12 Disember 2022. foto instagram FitrinRuslee.Production

Lebih mesra disapa Najmi, dia mengakui sememangnya banyak cabaran dan dugaan yang dilalui sepanjang menjalinkan hubungan dengan pasangannya, Sabrina Natasha Ismail, 24.

"Tempoh 10 tahun bukan sekejap. Kalau hendak diikutkan, saya nak nikah lama dah selepas lima tahun bercinta sebaik dia tamat tingkatan enam pada 2017.

"Saya ajak berbincang untuk kahwin dulu dan tak halang kalau dia belajar masa kahwin. Tapi dia minta tunggu sehingga habis belajar di Upsi (Universiti Perguruan Sultan Idris)," ujarnya yang berasal dari Kampung Sungai Jejawai di Teluk Intan.

pengantin lelaki menangis 5

Bergelar suami isteri selepas 10 bercinta. foto instagram FitrinRuslee.Production

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia bersyukur kerana mampu bertahan selama 10 tahun dengan gadis yang dicintainya sepenuh hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki berjurai air mata, 'drama' mula ketika famili gerak balik... Terserlah perangai manja anak bongsu depan bapa mentua!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas akad nikah, semua tergamam... anak lelaki tunggal ini menangis sujud cium kaki ibu di masjid - "Dia brutal sebenarnya"

"Terus-terang saya sendiri pernah berkata dalam hati, andai kata tak ada jodoh dengan dia, perancangan Allah ni hebat kerana kami bercinta sampai 10 tahun.

"Kalau Tuhan nak bagi sampai setakat itu, saya terima. Apabila dia sah jadi isteri saya, Alhamdulillah," katanya sambil menambah mereka bernikah kira-kira seminggu selepas majlis konvokesyen isterinya pada 5 Disember.

pengantin lelaki menangis 2

Najmi turut sebak pada majlis komvokesyen pasangannya (kini isteri).

Bersikap memahami, banyak bersabar dan menerimanya ketika susah serta senang antara sebab dia mampu bertahan menempuhi percintaan selama sedekad.

"Dulu saya kerja sebagai tour guide, saya jumpa ramai klien termasuk wanita tapi dia memahami. Sekarang saya buat kerja-kerja kampung macam potong rumput dan kait buah sawit dengan pendapatan lebih rendah dan tidak menentu, dia tetap menyokong saya.

Walaupun bercinta lama, tapi perasaan berbeza apabila akad nikah, sesuatu yang baharu.

NAJMI

"Saya ingat kata-kata dia sampai sekarang, 'Kita hidup ni, rezeki Tuhan dah tulis. Cuma kita kena berusaha, jangan malas bekerja sebab macam mana rezeki nak datang'," katanya.

Sementara itu, isteri Najmi iaitu Sabrina yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kesusasteraan Melayu mengakui suaminya seorang yang mudah tersentuh.

pengantin lelaki menangis 3

Najmi banyak memberi sokongan kepada pasangannya.

Selain beberapa kali menangis teresak-esak pada majlis nikah, Sabrina atau Sab mendedahkan bahawa suaminya juga berjurai air mata pada majlis konvokesyennya.

"Dia menangis sebaik saya keluar dari dewan. Dia menangis teresak-esak sampai orang lain dengar dan tengok, saya siap tegur jangan menangis depan orang.

"Saya sebatang kara selepas mak meninggal pada tahun saya masuk belajar di Upsi. Dia banyak support saya sehingga habis belajar. Dia menangis kerana terharu saya menamatkan pengajian," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain