suria

8 kali tangguh kahwin, pengantin lelaki menangis 2 kali di majlis nikah sebelum buat kejutan kereta Mustang untuk isteri - “Dia nak pujuk, saya asyik down je”

Foto kiri menunjukkan pengantin lelaki menangis sebelum akad nikah, sementara gambar kanan pasangan pengantin di hadapan kereta Mustang selepas majlis.

DUGAAN datang bertimpa-timpa terhadap satu pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mereka, sehingga kisah mereka menjadi perhatian.

Bukan sekali, tetapi lapan kali tarikh pernikahan mereka terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Namun siapa sangka di sebalik ujian yang menimpa pasangan ini, pengantin perempuan menerima kejutan berupa kereta mewah Mustang selepas majlis akad nikah.

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah di sebalik niat nak halalkan hubungan... Baru 2 minggu bisnes, pasangan remaja beli Ford Mustang tunai! Paling manis, kereta sampai di hari bahagia

ARTIKEL BERKAITAN: Blogger bayar 'cash' lagi, kali ini hadiahkan kereta mewah sempena hari lahir suami

Video kejutan hadiah kereta buat pengantin perempuan itu dimuat naik menerusi akaun TikTok @sheilanannn dan meraih lebih tiga juta tontonan.



Majlis pernikahan bertemakan taman. foto ihsan Syahamimi Ezira Shahri

Pengantin perempuan berkenaan, Syahamimi Ezira Shahri berkata, dia dan jejaka pilihannya selamat dinikahkan dengan sekali lafaz pada 9 April lalu, di Putrajaya.

Wanita berusia 25 tahun itu menjelaskan bahawa pada asalnya mereka merancang untuk berkahwin lebih setahun lalu, pada Mac 2020.

"Masa Februari 2020, kedua-dua belah keluarga bincang nak percepatkan majlis perkahwinan. Tapi terpaksa ditunda kerana bimbang kes Covid-19 semakin bertambah.

"Bila PKP dan larangan rentas negeri, keluarga sebelah lelaki di Kelantan dan keluarga saya di Selangor, maka beberapa kali tarikh terpaksa ditunda," katanya kepada mStar.



Tangisan pengantin lelaki pada majlis akad nikah.

Syahamimi berkata, selain PKP dan larangan rentas negeri, antara alasan lain majlis terpaksa ditangguh adalah disebabkan terdapat sanak-saudara yang dijangkiti wabak itu.

"Orang kata masa bertunang banyak dugaan, tapi nak kahwin pun macam-macam halangan. Ada satu masa, dua minggu sebelum majlis kami terpaksa tunda ke tarikh lain.

"Saya rasa down sangat sehingga menangis teruk. Sampaikan pernah terfikir adakah dia jodoh saya sebab banyak sangat dugaan," ujarnya yang dibesarkan di Semenyih, Selangor.



Kejutan daripada pengantin lelaki buat isteri.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan pasangan, Muhammad Salman Adnan, 22, yang begitu tenang dan memahami.

"Selain keluarga, dia (suami) yang banyak memberi sokongan kepada saya sepanjang setahun tarikh nikah kami ditunda sebanyak lapan kali. Dia minta saya banyak bersabar.

"Saya akur pertemuan dan jodoh itu ketentuan Allah. Sikap dia yang penuh sabar, sentiasa beri semangat dan bertanggungjawab membuatkan saya lebih yakin bahawa dia adalah jodoh yang terbaik buat saya," katanya sambil menambah mereka mula berkenalan pada 2018.



Syahamimi pandu uji kereta yang dihadiahkan kepadanya.

Mengulas lanjut, katanya, majlis pernikahan yang bertemakan taman yang dirancang untuk kali kesembilan sejak lebih setahun lalu berjaya direalisasikan meskipun jumlah tetamu dihadkan bagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, termasuk larangan rentas negeri masih dikekalkan.

"Hanya kira-kira 70 ahli keluarga terdekat dan rakan baik saja yang hadir pada majlis pernikahan kami. Syukur, memang gembira akhirnya majlis yang dirancang berjalan lancar.

Orang kata masa bertunang banyak dugaan, tapi nak kahwin pun macam-macam halangan. Ada satu masa, dua minggu sebelum majlis kami terpaksa tunda ke tarikh lain

SYAHAMIMI EZIRA SHAHRI

"Sebelum bermula akad nikah tu, dia menangis sebab gemuruh sangat. Bila dah sekali lafaz tu lagilah kuat menangisnya kerana bersyukur dah selesai.

"Saya pun menangis dan badan rasa menggeletar sebab gembira kerana amat bersyukur akhirnya saya sah bergelar isteri orang," ujar usahawan produk kecantikan itu.



Setelah setahun tertangguh untuk bernikah, pasangan ini akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

Syahamimi bagaimanapun tidak menyangka dikejutkan dengan kereta Mustang sebaik majlis akad nikah berakhir, yang dibuat suaminya yang juga usahawan, sempena hari ulang tahunnya pada 5 April.

"Kejutan tu sempena hadiah hari jadi saya, pada masa sama nak pujuk hati saya yang asyik down je sebelum ni. Saya memang tak sangka dan gembira sangat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain