suria

Semut buat kalimah Allah atas kubur, anak dedah arwah ibu selalu buat baik dengan 2 madu... Rajin hantar makanan ke masjid

Arwah bukan sahaja rajin bersedekah, malah sentiasa berbuat baik terhadap dua orang madunya.

AMALAN menziarahi kubur sudah menjadi satu kemestian setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Terbaharu, seorang individu mendedahkan ahli keluarganya dikejutkan dengan lakaran mirip kalimah Allah yang muncul di atas pusara arwah ibunya.

Bercakap kepada mStar, individu yang mahu identitinya dirahsiakan itu berkata kewujudan kalimah berkenaan disedari ketika mereka sedang membersihkan pusara arwah dalam kunjungan pada hari raya ketiga, 12 April lalu.

kalimah 2

Foto kalimah Allah di atas pusara yang dirakam pada hari raya ketiga.

"Keluarga saya pergi ke kubur arwah emak masa pagi Syawal ketiga. Nampak kalimah Allah atas kubur. Lokasi di tanah perkuburan di Bidor, Perak.

"Kami anggap ini tanda-tanda kebesaran Allah, bangga kubur emak yang terpilih. Kami yakin bukan orang yang tulis sebab ia adalah sarang semut.

"Mula-mula keluarga nak bersihkan kubur. Nak buang daun kering lalu ternampak tulisan. Awalnya ia tak jelas, lama-lama, tengok betul-betul terus nampak kalimah Allah," ujarnya.

Kami anggap ini tanda-tanda kebesaran Allah, bangga kubur emak yang terpilih.

ANAK ARWAH

Berdasarkan foto yang dikongsikan kepada mStar, dapat dilihat tulisan mirip kalimah Allah itu terbentuk daripada gumpalan pasir dipercayai adalah sarang semut.

Menurut individu itu lagi, ia merupakan kejadian pertama selepas ibunya meninggal dunia pada 2 Mei 2020 yang juga hari kelima Ramadan tahun berkenaan.

"Biasa datang (kubur) mesti ada kucing baring atas kubur. Ada beberapa ekor. Tu rasa biasa je. Tapi kalimah Allah tak pernah terjadi sebelum ini.

"Sebelum mak meninggal dia alami sesak nafas, terus tidur dan tak sedar. Selepas dibawa ke hospital, doktor guna alat bantuan pernafasan dan disahkan meninggal," ceritanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 tahun kahwin tiada zuriat, wanita ‘sporting’ pasang pelamin untuk suami... Anggap madu macam adik

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah pusara ayah, terkedu dengar suara misteri baca al-Mulk di kubur sebelah kiri... Wanita yakin tiada pelawat lain

Berkongsi tentang amal kebajikan yang dilakukan arwah ketika hayatnya, individu itu berkata ibunya merupakan seorang wanita yang baik hati.

Tambah individu itu lagi, arwah yang juga isteri pertama bapanya sentiasa berbuat baik terhadap madu-madunya dan kerap bersedekah kepada orang sekeliling.

"Ayah ada tiga isteri. Masa mak hidup, mak sangat baik dengan madu dia. Dia siap masak untuk madu-madu dia dan anak-anak madu juga dia jaga dengan baik.

A volunteer preparing Bubur lambuk into a container to be served to Muslims at one of the mosque in Kuala Lumpur. Muslims break their fasting in a simple way at the mosque before performing the Maghrib prayer and then the Taraweeh prayer.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Bersedekah kepada jemaah masjid merupakan satu amalan terpuji. -Gambar hiasan

"Amalan lain, dia suka buat kenduri bagi orang makan tak kira bangsa atau agama. Semua dia jemput. Yang lain saya tak pasti kalau dia buat diam-diam.

"Semasa hidup, arwah juga suka hantar makanan ke masjid setiap hari Jumaat. Walaupun kadang-kadang bihun kosong je, dia tetap hantar," imbas anaknya lagi.

Anak arwah berkongsi kisah berkenaan selepas menghubungi mStar menerusi direct message (DM) di Instagram.

Dia turut berkongsi beberapa foto kalimah Allah di atas pusara yang sempat dirakam oleh ahli keluarganya baru-baru ini.

Sebagai peringatan, penemuan sebegini selalunya mengundang kekaguman dan keterujaan dalam masyararakat.

Hakikatnya tidak salah sekiranya kita berasa teruja dan memuji kebesaran Allah pada setiap penemuan tesebut namun janganlah sampai terlalu taksub dan berlebihan dengan menganggap ia satu keajaiban, kerana Islam bukan begitu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain