suria

Dendeng Khairul Aming dijual semula, harga lebih 2 kali ganda! Penjual beri alasan ‘cover rugi’ majlis batal

Seorang penjual menjual semula produk kedua Khairul Aming (kiri). -Gambar kanan hiasan /Freepik

RAMAI yang masih mencuba nasib untuk mendapatkan produk kedua usahawan dan pempengaruh popular, Khairul Aming iaitu Dendeng Nyet Berapi.

Sambutan terhadap produk ini ternyata luar biasa dengan 80,000 pek habis dijual dalam tempoh tiga minit dan 39 saat sebaik dilancarkan di platform TikTok sebelum ini.

Susulan itu, terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjual semula pada harga sehingga lebih dua kali ganda berbanding RM14.90.

Pada Sabtu, tular mengenai perkongsian seorang pelayar di grup Facebook mengesan tindakan seorang penjual yang memasarkan produk berkenaan dengan harga RM39.90.

“Ini ialah produk kedua KhairulAming yang original,” katanya menerusi salah satu platform e-dagang popular.

Produk dendeng didakwa jual semula pada harga lebih tinggi.

Namun, apa yang menjadi perhatian adalah di bahagian keterangan, di mana penjual tersebut memaklumkan sebab produk itu dijual semula.

“Kami beli untuk satu majlis tetapi majlis itu dihentikan. Jadi, kami jual balik di sini.

“Kami minta maaf sebab harga tinggi. Kami terpaksa cover balik kerugian. Anda boleh beli hanya kalau berminat,” menurut keterangan jualan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairul Aming pecah rekod! Dendeng ‘sold out’ 3 minit 39 saat, jualan lebih RM1 juta

ARTIKEL BERKAITAN: Wow, dari ‘zero’ ke million! Jual sambal je, Khairulaming kongsi catat jualan RM21.5 juta dalam masa 2 tahun

Menurut keterangan itu lagi, hanya 10 unit dendeng sahaja yang dijual.

Selain mengkritik tindakan penjual itu mengambil kesempatan menaikkan harga, pengguna Facebook berkenaan turut mempersoalkan alasannya menjual semula produk berkenaan.

“Itu dia harga. Naikkan harga sebab kerugian... kerugian apa ya? Beli untuk majlis, wow!” tulis seorang pengguna Facebook.

Bagaimanapun, semakan mStar mendapati produk yang dipromosikan di platform e-dagang popular itu ditandakan dengan jualan sifar dan akaunnya yang baru dibuka itu tidak mempunyai sebarang rating.

Alasan yang diberikan penjual tersebut.

Di ruangan komen, rata-rata netizen turut terkejut dengan ‘kerugian’ yang kononnya dialami penjual terbabit sehingga memaksanya untuk menjual semula produk dendeng itu.

“Dia buat majlis apa? Cukup ek majlis 10 pek je?

“Tahi dia, beli borong lepas tu acah-acah majlis batal.

“Majlis apa 10 pek je? Untuk 10 hingga 15 orang makan ke. Dia buat majlis piknik tepi sungai ke?

“Beli harga B40, jual harga T20,” demikian antara komen netizen.

Pada 2 Februari lalu, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, mencipta sejarah apabila jualan 80,000 produk keduanya disambar pembeli, mencatatkan lebih RM1.2 juta dalam tempoh kurang 4 minit.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain