suria

Berniaga tepi jalan, pakcik ini curi peluang kumpul pahala mudahkan penunggang motor baru balik dari klinik

Pemuda ini berkongsi kebaikan seorang peniaga di tepi jalan.

SEORANG pemuda tersentuh hati melihat tindakan seorang peniaga dalam satu kejadian di hadapan Klinik Kesihatan di Seri Kembangan, Selangor.

Menerusi satu video yang dikongsi di akaun TikTok Abeng Man, dia meluahkan rasa terharu apabila mengetahui kotak terpakai di atas tempat duduk motosikalnya sengaja diletakkan untuk menghalang pancaran matahari.

Penunggang motosikal itu menjelaskan cuaca pada hari tersebut sememangnya panas berbanding hari-hari biasa.

Kejadian dikatakan berlaku di hadapan Klinik Kesihatan di Seri Kembangan.

"Harini cuaca panas. Baru lepas balik dari hospital. Tengok-tengok ada orang letak kotak atas motor.

"Rupa-rupanya pakcik peniaga ni letak. Dia kasihan tengok tempat duduk motor panas. Dia anggap sedekah dia," ujarnya.

Rakaman video oleh Abeng Man juga menunjukkan beberapa motosikal lain yang diparkir di hadapan klinik kesihatan itu turut dilapik dengan kotak.

Jika diteliti pada video, kelihatan banyak kepingan kotak terkumpul di dalam satu plastik berwarna merah jambu berdekatan gerai pakcik itu yang berniaga secara kecil-kecilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak buat baik pun tak boleh! Vendor ‘dessert’ dihalang bagi teh ais percuma, kecewa niat murni dipandang serong

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki niat baik mahu bantu peniaga kek coklat tapi rasa leceh diminta transfer deposit RM15, akhirnya ‘sentap’ sebab kena block

Di ruangan kapsyen video, Abeng Man menitipkan doa terhadap pakcik tersebut bagi menghargai usaha baik yang dilakukan.

"Ya Allah permudahkan urusan peniaga ni. Lokasi dekat Klinik Kesihatan Seri Kembangan," tulisnya.

Tindakan pakcik peniaga makanan itu turut mendapat pujian ramai setelah videonya menjadi tular.

Senang je pakcik ni buat pahala nampak macam dia sudah bersedia kotak-kotak dalam plastik tu.

NETIZEN

Malah, terdapat beberapa individu lain tampil berkongsi pengalaman mereka yang pernah berdepan kejadian sama ketika berkunjung ke klinik kesihatan tersebut.

"Benda mudah macam ni pun sebenarnya buat hati kita berbunga-bunga. Sejuk hati.

"Senang je pakcik ni buat pahala nampak macam dia sudah bersedia kotak-kotak dalam plastik tu.

Komen netizen pada video.

"Pakcik ni baik. Selalu dia letak kotak tak nak bagi tempat duduk panas katanya. Mudah kan nak buat pahala," komen netizen.

Membalas beberapa komen-komen dan persoalan netizen, Abeng Man menjelaskan pakcik ini menjual susu dan kuih-muih.

Malah, ada dalam kalangan netizen tergerak hati untuk ke lokasi pakcik ini berniaga sebagai tanda memberikan sokongan atas kebaikannya memudahkan urusan orang lain.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain