suria

Jimat minyak, cat kalis kotoran... Wanita puji Myvi miliknya mudah nak jaga! Suami biarkan saja isteri kagum, tak tahu cerita betul

Seorang suami dalam diam membantu menguruskan kereta Myvi milik isteri. -Gambar hiasan (kanan)

KEPRIHATINAN seorang suami terhadap isteri tersayang seperti mana diceritakannya dalam satu posting di Facebook mendapat pujian ramai.

Menurut Irshad Harris, dia berjaya menggembirakan pasangannya apabila secara diam-diam membantu wanita itu mengisi minyak kereta.

Tanpa mengetahui 'kebaikan' si suami, isterinya memuji-muji kereta jenis Myvi yang dipandu ke tempat kerja kerana menganggap kenderaan itu sangat jimat minyak.

Seorang lelaki perlu menjaga kebajikan pasangannya yang bergelar isteri. -Gambar hiasan

"Isteri saya cukup kagum dengan kehebatan Perodua Myvi dia, katanya terlalu jimat minyak.

"Bayangkan, kereta sudah berusia empat bulan dan dia maklumkan hanya pernah isi minyak sekali sahaja sepanjang tempoh tersebut, kereta ini digunakan untuk ulang alik kerja.

"Jarak 8 kilometer dari rumah ke hospital, kadang-kadang jalan jauh sedikit tetapi masih dalam kawasan Johor Bahru," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami poket kering, isteri tak teragak bantu! Selama ini amalkan magic, dompet lama boleh buat duit ‘beranak’

ARTIKEL BERKAITAN: Bermacam spekulasi gula dalam enjin Bezza, pemuda kongsi pengalaman proses ‘inspection’ di kilang

Bukan itu sahaja, Irshad juga hanya membiarkan isterinya terus memuji kualiti cat kereta yang digunakan oleh Perodua kerana keretanya sentiasa nampak bersih dan berkilat.

Wanita itu tidak tahu bahawa Irshad telah membasuh keretanya setiap minggu pada pagi Ahad.

"Macam mana nak beritahu yang saya sudah lima kali isikan minyak kereta dia penuh tangki tanpa buat dia terasa?

"Sebab asalnya, saya pinjam kereta dia mesti minyak dah naik lampu kuning (tanda perlu isi minyak). Pinjam kejap-kejap je nak ke masjid atau pasar.

Indahnya kehidupan kalau kita dapat saling melengkapi dan menggembirakan pasangan kita tanpa disedari.

NETIZEN

"Dia juga kagum Perodua bagi cat kereta yang mahal sebab dia kata kereta dia sentiasa berkilat walaupun dia tak pernah hantar carwash (tempat cuci kereta)," jelasnya.

Dalam hantaran sama, Irshad juga sempat berseloroh dengan menyentuh isu 'gula dalam enjin' yang berlaku baru-baru ini, di mana sebuah kereta model Perodua Bezza rosak tidak sampai 8 jam selepas berada di tangan pembeli, disebabkan kehadiran bendasing seperti gula dalam enjin

Hantaran tersebut meraih perhatian netizen di Facebook apabila dikongsikan semula oleh laman Tomato Laici.

Rata-ratanya terhibur dengan perkongsiannya sambil memuji cara Irshad menunjukkan kasih sayang terhadap pasangan.

Komen netizen pada hantaran tular.

"Satu kepujian untuk suaminya yang selalu prihatin.

"Itulah pengorbanan lelaki. Samalah macam mana sang isteri nak cerita betapa peritnya proses nak beranak tu.

"Indahnya kehidupan kalau kita dapat saling melengkapi dan menggembirakan pasangan kita tanpa disedari. Teruskan membuat kebaikan dengan ikhlas," ujar beberapa netizen di ruang komen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain