suria

Pelajar KPTM pandai buat duit, jual baju boleh dapat RM100,000! Tak sia-sia pemuda ini ikut nasihat mak ayah suruh cari ilmu

Amin dan rakan-rakannya memperoleh hasil jualan enam angka dalam masa dua minggu.

BERMULA dengan mengusahakan bisnes air jagung, seorang anak muda pernah meraih pendapatan mencecah lima angka.

Kini dia menceburi bisnes baharu sehingga meraih jualan berlipat kali ganda, dengan nilainya bukan biasa-biasa iaitu mencecah enam angka hanya dalam masa dua minggu!

Berkongsi cerita, Muhammad Amin Syarifuddin Aziz berkata, dia memulakan bisnes baju sejak Ogos 2022 berikutan permintaan di pasaran dan perkembangan trend semasa.

Kata pemuda berusia 22 tahun itu, dia memulakan bisnes baharu berkenaan selepas menyambung pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di kampus Bangi, Selangor.

“Dulu saya sambung belajar tapi tak habis. Tak fikir panjang lalu saya berhenti. Selepas itu, saya ceburi bisnes dengan menjual air jagung.

“Sekarang apabila kembali sambung belajar, saya dah tak ada pendapatan sendiri sedangkan saya tidak mahu membebankan mak ayah dengan meminta duit daripada mereka.

“Jika dulu, saya boleh meraih pendapatan kira-kira RM1,000 sehari dengan menjual air jagung. Jadi, saya perlu melakukan bisnes ketika belajar kali ini, maka lahirlah idea untuk jual baju,” katanya kepada mStar.

Amin (kanan) bersama sebahagian rakan-rakan sepasukan.

Mempunyai ibu bapa yang mementingkan pendidikan, Amin berkata keputusannya untuk menyambung pengajian di KPTM pada awalnya bagi memenuhi hasrat kedua-dua orang tuanya untuk melihat dia menamatkan pengajian di peringkat tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar raih RM19,000 buat bisnes 5 hari di asrama, berbaloi tebal muka ketuk bilik kawan - “Ramai-ramai gelak, nombor kena block”

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

“Mulanya saya sambung belajar sebab mak. Orang kata kalau nak berniaga semua boleh buat, buka meja je dan jual. Tapi nak kembangkan bisnes kena ada ilmu.

“Sebab itu saya belajar dalam Diploma Pengurusan Perniagaan untuk mendapatkan ilmu. Allah aturkan perjalanan saya untuk menjadi orang berjaya pada masa akan datang dengan belajar,” ujarnya yang berasal dari Semenyih, Selangor.

Antara rekaan baju yang dijual oleh pasukan Amin.

Sehubungan itu, Amin mahu membuktikan juga kepada generasi muda terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bahawa menyambung pengajian bukan alasan mahupun penghalang bagi mereka untuk menjana pendapatan.

“Dengan belajar, mereka akan mendapat sesuatu yang penting agar tidak mudah ditipu dalam perniagaan, pada masa depan.

Saya bukan nak dapat keuntungan semata-mata, tetapi mahu membantu pelajar-pelajar lain menjana pendapatan.

MUHAMMAD AMIN SYARIFUDDIN AZIZ

“Pada masa sama, saya berniat nak bantu meringankan beban ibu bapa yang selama ini menanggung kos pelajaran anak-anak.

“Jadi, saya tidak menganggap perniagaan ini kepunyaan sendiri tetapi ia merupakan bisnes saya bersama rakan-rakan,” katanya sambil menambah setakat ini bisnes baju tersebut turut menjana pendapatan seramai 60 ejen dalam kalangan pelajar.

Amin bersyukur jualan baju mendapat sambutan amat menggalakkan.

Bermula hanya 300 helai baju dijual pada bulan pertama tahun lalu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu bersama rakan sepasukannya berjaya mencatatkan jualan baju mencecah nilai RM100,000 dalam tempoh hanya dua minggu, pada bulan lalu.

“Alhamdulillah, syukur dengan pencapaian ini. Jujurnya, niat saya bukan nak dapat keuntungan semata-mata, tetapi mahu membantu pelajar-pelajar lain menjana pendapatan.

“Cabarannya tentu ada, iaitu menguruskan orang. Tapi saya suka cabar diri dan pasang strategi,” katanya yang perlu menguruskan masa belajar dan bisnes.

Amin (kiri) menjadikan Hafiz Mahamad sebagai idolanya untuk memperoleh kejayaan dalam perniagaan.

Dalam pada itu, pemuda yang gemar bermain bola dan hoki begitu teruja bercerita tentang idolanya dalam perniagaan iaitu pempengaruh dan usahawan, Hafiz Mahamad.

“Saya minat berniaga daripada kecil dan bisnes baju ni bukan untuk kayakan diri sendiri. Macam Hafiz Mahamad, dia mengusahakan bisnes untuk turut sama melihat kejayaan orang lain.

“Saya berharap sangat untuk berjumpa dengan dia suatu hari nanti. Nak korek apa rahsia sehingga dia memperoleh kejayaan seperti hari ini,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain