suria

Jenazah berpeluh! Anak dakwa bapa disihir nampak macam mati, lemas dalam kubur dikebumi hidup-hidup... Dah terlambat nak gali semula

Wujud kes di negara ini melibatkan individu yang meninggal dunia akibat disihir. -Gambar hiasan

REDA dengan takdir tapi tak akan lupa sampai bila-bila!

Seorang pemuda dikenali sebagai Wan meluahkan rasa sedih apabila mengenangkan semula kematian bapanya pada tahun 2013 yang didakwa berpunca daripada perbuatan sihir.

Menurut anak ketiga daripada lapan beradik itu, dia mengesyaki sihir tersebut dihantar oleh saudaranya sendiri selepas keluarga mereka terlibat dalam pertikaian sebidang tanah di Melaka.

kubur2

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. -Gambar hiasan

"Ia berpunca daripada tanah tapak rumah kami. Tanah tu arwah ayah dah beli daripada nenek. Ayah saya ni menantu je, ayah beli sebab tak nak timbul isu antara adik-beradik mak saya. Tapi silapnya tak pecahkan geran tanah siap-siap. Tiada hitam putih.

"Jadi bila orang tua semua dah tak ada, jadi isu la. Anak saudara nenek tuntut tanah itu. Dulu dia tiada tanah, tapi nenek saya bagi tapak tu untuk dia buat rumah di sebelah rumah kami. Tanah tu atas satu geran besar yang dipegang oleh nenek.

"Asalnya dia (anak saudara nenek) tiada geran. Geran tanah tu dia dah duplicate (pendua). Macam mana dia buat pun saya tak tahu. Mereka pergi Pejabat Tanah, tapi tak boleh buat apa-apa sebab ikut pada bil elektrik dan air pun, kami dah duduk situ lebih 20 tahun. Bila tak boleh buat apa-apa, mereka guna cara halus," ujarnya kepada mStar.

Roh ayah dikunci dalam botol. Jadi, bila orang dah habis tinggalkan kubur, barulah roh tu dilepaskan semula.

WAN

Tidak lama selepas pertikaian itu, Wan yang bekerja di Ipoh, Perak menerima perkhabaran tentang kematian bapanya dan terus bergegas pulang ke kampung di Melaka.

"Sampai-sampai, saya masuk rumah tengok arwah ayah saya kat ruang tamu. Masa tu ada adik-beradik dan mak. Masa tu juga saya tengok kat dahi arwah ayah berpeluh. Saya tak syak apa-apa. Saya cuba pegang tangan arwah, tapi satu badan dia macam dah kaku, kejang, keras.

"Ibu jari tangan dia je lembut. Kemudian saya pergi report polis, beli kelengkapan untuk kebumikan arwah dan pergi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Masa nak kebumi, hujan turun selebat-lebatnya. Tapi kami teruskan juga," cerita Wan lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Sentap’ ditegur kerap letak kereta depan pagar, jiran sebelah terus hantar sihir... Hari-hari simbah air kencing, sup bunjut pun ada!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar cemerlang SPM dungu disihir, pelaku dengki tengok ibunya gembira tayang slip - “Anak aku dapat 2A je”

Pada waktu itu, Wan berkata semuanya masih kelihatan normal, namun mereka sekeluarga mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana arwah bapanya hadir dalam mimpi adiknya selama tiga malam berturut-turut.

Bagi merungkai misteri yang menyelubungi, Wan berjumpa dengan seorang ustaz sebelum dia dimaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia akibat terkena buatan orang.

"Adik bongsu saya mimpi arwah ayah meronta minta tolong, macam lemas. Tiga malam berturut-turut mimpi yang sama. Saya pun berjumpa dengan ustaz. Ustaz kata arwah kena buatan orang.

"Katanya roh ayah 'dikunci' dalam botol. Jadi, bila semua orang dah tinggalkan kubur, barulah roh tu dilepaskan semula. Pada hari kebumi tu juga, anak saudara nenek yang paling banyak menggesa agar cepat-cepat kebumi jenazah. Masa kebumi tu, nampak dia senyum je.

bomoh1

Amalan sihir bertentangan dengan agama Islam. -Gambar hiasan

"Tapi kami tak gali balik. Sebab masa jumpa ustaz tu, ustaz cakap dah terlambat. Kalau masa malam pertama mimpi tu dah gali, mesti dapat selamatkan arwah. Ni dah lebih tiga hari. Arwah dah tak ada sebab lemas dalam kubur. Umpama kami tanam arwah ayah hidup-hidup," ceritanya lagi.

Tambah Wan, dia dan keluarganya berpindah dari rumah berkenaan selepas kematian bapanya kerana tidak mahu kejadian sama berulang.

Kisah bapa Wan meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi tentang kejadian itu menerusi ruangan komen di aplikasi TikTok.

Wan berkongsi kisah yang berlaku kepada keluarganya selepas seorang perawat memuat naik video mengenai kewujudan sihir mati atau 'kunci roh'.

Pada Isnin, mStar menghubungi Wan untuk bertanya lebih lanjut tentang kejadian duka yang kini menjadi sejarah dalam keluarganya.

Sebagai peringatan, umat Islam dilarang sama-sekali untuk terlibat dalam sebarang amalan sihir yang bertentangan dengan ajaran agama serta al-Quran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain