suria

Bibik tak boleh harap! Disuruh tidurkan bayi 2 bulan, tapi dipukul laju-laju - “Dia tak mengaku tapi minta maaf”

Rakaman daripada CCTV menunjukkan pembantu rumah Amyra mengasari bayinya.

BARU minggu lalu media melaporkan kes seorang kanak-kanak lelaki cedera teruk gara-gara didera oleh ibu kandung dan rakan serumahnya, terbaharu muncul pula video memaparkan seorang bayi yang didakwa didera oleh pembantu rumah.

Video tersebut dimuat naik di akaun TikTok @amyranadya pada Sabtu.

"Luluh hati apabila check (periksa) balik footage CCTV... dengan muka tak puas hatinya (pembantu rumah). Padahal anak saya ni easy baby, senang sangat jaga.

"Kemain kuat dia pukul. Sedap je pukul dan hayun anak orang laju-laju," tulisnya pada perkongsian berdurasi 1.31 minit itu.

Menerusi video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik, kelihatan pembantu rumah itu sedang terbaring di atas katil bersama bayi Amyra yang berusia dua bulan, sebelum dilihat mengangkat dan mengasari si kecil kerana tidak mahu tidur.

Bercerita kepada mStar, Amyra yang menetap di Semenyih berkata, ketika kejadian yang berlaku lewat petang Sabtu (semalam), dia meminta bantuan pembantu rumahnya kerana mahu menyuapkan makanan untuk anak sulungnya yang berusia tiga tahun.

bibik 2

Pembantu rumah ini baru berkhidmat dua bulan di rumah Amyra.

"Saya ada dekat luar bilik saja masa tu... saya minta dia tidurkan bayi sekejap sebab nak suap anak sulung makan. Kemudian saya terdengar bayi anak menangis.

"Saya terus masuk bilik... masa tu dia macam cuba-cuba pujuk bayi saya. Selepas bayi tidur, saya tak sedap hati sebab fikirkan bayi saya menangis kuat tadi. Bayi saya ni mudah sangat dijaga, jarang menagis atau merengek.

"Saya tahu kalau dia menangis demam atau lapar susu. Tapi yang ni lain menangisnya. Jadi saya tergerak nak periksa CCTV. Luluh hati apabila tengok rakaman tu," ujar wanita berusia 23 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dera anak, tomboi warga Singapura didakwa! Menangis teresak-esak di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: Dipukul sebab bising! Badan budak 2 tahun lebam, berbirat ‘dikerjakan’ pakwe ibu... Lesap selepas nampak polis peronda

Amyra menambah, dia segera bertanya kepada pembantu rumahnya namun wanita warga Indonesia itu tidak mengaku mengasari bayinya.

"Dia ada minta maaf tapi apabila ditanya, dia tak mengaku pula. Saya minta dia kemas-kemas barang sebab nak pulangkan dekat ejen malam tu juga. Saya tak boleh bertoleransi apabila melibatkan hal anak," ujarnya.

Amyra menambah, dia melayani pembantu rumah berusia 40-an itu dengan baik malah wanita tersebut hanya ditugaskan untuk mengemas rumah dan memasak sahaja sejak berkhidmat hampir dua bulan lalu.

Selalu baca pasal kes dera dekat berita, kali ini bayi saya pula jadi mangsa.

AMYRA NADYA

"Saya menjalankan bisnes online dekat rumah... jadi dua anak saya, saya yang jaga sepenuhnya. Dia hanya buat kerja rumah je. Kalau keluar pun saya bawa anak.

"Hanya apabila waktu tertentu je minta dia tengokkan bayi sekejap. Sebab saya kurang percaya orang lain... tapi tak sangka dia tergamak buat macam tu.

"Selalu baca pasal kes dera dekat berita, kali ini bayi saya pula jadi mangsa," katanya sambil menambah, dia tidak membuat laporan polis sebaliknya hanya menyerahkan urusan mengenai pembantu rumah itu kepada ejen.

komen bibik

Komen netizen terhadap perkongsian Amyra.

Dalam pada itu, Amyra mengakui kejadian berkenaan membuatkannya serik dan lebih berhati-hati sebelum mengambil mana-mana pembantu rumah.

"Kalau boleh, saya lebih suka untuk ambil orang kita sebagai pembantu rumah... dah serik ambil orang asing," akhirinya.

Untuk rekod, video yang dikongsi Amyra meraih 2.2 juta jumlah tontonan di TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain