suria

Wanita sangka tertukar bayi selepas bersalin, tak percaya anak sendiri putih gebu... Lepas ‘siasat’ rupanya ibu amal 3 surah setiap hari

Aira Humaira tular di media sosial kerana kecomelan wajahnya.

SEPERTI dalam drama, 1001 tanda tanya timbul dalam benak fikiran sepasang suami isteri ini tatkala kali pertama memandang wajah bayi perempuan mereka.

Diberi nama Aira Humaira, wajah si comel itu seindah namanya.

Kelahiran Aira pada 15 Jun lalu menimbulkan suasana gamat apabila ibunya, Nur Atikah Zainudin, 27, menyangka pihak hospital tertukar bayinya dengan anak orang lain.

Menurut Atikah, dia dan suaminya Irfan Aqil Zahari, 23, seolah-olah tidak percaya bayi perempuan itu merupakan cahaya mata sulung mereka memandangkan si comel berkenaan kelihatan berbeza dan tidak mengikut wajah ibu dan bapanya.

aira3

Atikah dan suaminya baru sahaja menimang anak sulung pada bulan lepas.

"Hari pertama tengok anak sendiri, mama dengan abi 'gelepor' ingat tertukar anak. Sebab tak tahu ikut muka siapa. Teruja dan masih tak percaya," ujarnya pada kapsyen video di TikTok.

Bercakap kepada mStar, Atikah berkata dia dan suaminya turut bertanya kepada jururawat bertugas atas kekeliruan itu sebelum dijelaskan bahawa bayi berkenaan benar-benar anak mereka.

"Saya sampai tanya jururawat, betul ke ni anak saya? Jururawat kata betul la, ada nama saya. Bapanya pun begitu. Dia datang dan tanya, betul ke? Dia macam tak percaya sebab anak kami cerah sangat.

Masa mengandung dia, saya alahan teruk... masuk wad sebab muntah darah.

NUR ATIKAH ZAINUDIN

"Tapi apabila lihat wajah puteri sulung kami, hati ini rasa lega, hilang semua rasa sakit. Aira lahir pada usia kandungan 36 minggu, tak cukup bulan. Sebab kandungan songsang, saya terpaksa dibedah. Tapi Alhamdulillah bayi sihat," ujarnya.

Menurut Atikah yang terkejut dengan penularan video bayinya di TikTok, dia ada mengamalkan pemakanan tertentu serta beberapa surah sepanjang kehamilannya.

"Kalau ikutkan, setiap hari saya mengaji, baca surah Yusuf, surah Maryam dan surah Luqman. Surah-surah ini boleh dibaca bila-bila masa ataupun ketika solat. Tapi saya tak miss setiap hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa kongsi kisah 5 tahun sabar tunggu zuriat, akhirnya lahir ‘si pipi labuh’ popular macam anak selebriti - “Orang lain geram, kami pun sama”

ARTIKEL BERKAITAN: Selain buat orang ‘geram’, ramai keliru dengan rambut bayi comel ini... betul ke palsu? - “Dah tiga anak lelaki, saya doa dapat perempuan pula”

"Makanan pula saya hanya banyak makan buah. Antaranya delima dan jambu batu. Kemudiannya, saya juga selalu makan aiskrim dan coklat. Biasanya bayi saya tidak aktif, tak bergerak. Lepas makan aiskrim atau coklat baru dia aktif dalam perut.

"Selepas lahir, anak saya juga tak banyak meragam. Dia tak menangis, masa mandi pun termenung saja. Sekarang dia dah pandai minta susu, jadi dia akan menangis, tapi nadanya tak kuat," ujarnya lagi.

Di sebalik rezeki terindah dalam hidupnya itu, Atikah berkata dia turut berdepan fasa kehamilan mencabar, terutamanya dalam enam bulan pertama.

aira4

Atikah bersyukur dengan kehadiran puteri sulungnya itu.

"Masa mengandungkan dia, saya alami alahan teruk. Saya masuk wad sebab muntah darah. Sejak awal kehamilan sehingga enam bulan, memang seksa rasanya.

"Disebabkan itu, mungkin saya akan 'rehat' lama sikit. Sebab saya pun belah perut. Mungkin selepas lima tahun baru fikir anak seterusnya," ujar Atikah yang kini berpantang di rumah ibunya di Pahang.

Dalam pada itu, dia turut menitipkan ucapan terima kasih kepada netizen di aplikasi TikTok yang tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah serta doa buat anaknya.

"Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak. Saya pun tak tahu video anak saya boleh viral. Yang mana masih menunggu cahaya mata, saya doa ada rezeki untuk anda juga.

"Doakan anak saya terus sihat sampai besar," ujarnya mengakhiri bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain