suria

Orang asing kagum makanan Malaysia, nasi lemak disangka ‘menu diraja’! Mewah, sekali makan kenyang 3 hari

Lelaki warganegara Pakistan ini sangat menghargai juadah Malaysia. -Gambar hiasan

JIKA terasa diri cukup terbeban dengan ujian kehidupan, pasti ada orang lain yang diuji lebih hebat.

Begitulah pengajaran yang dapat diambil daripada satu video tular di Twitter memaparkan rakyat Pakistan daripada kawasan pedalaman dipelawa mencuba juadah popular di Malaysia.

Mereka disajikan dengan menu seperti nasi lemak lauk ayam goreng, roti jala cicah kari dan teh tarik.

Perkongsian asal di Twitter.

Video itu pada mulanya dimuat naik ke YouTube oleh saluran 'Reactistan' yang menyediakan kandungan memaparkan reaksi dan penerimaan warga Pakistan terhadap masakan antarabangsa.

Perkara yang menjentik keinsafan dalam kalangan komuniti warga maya adalah ketika melihat reaksi seorang lelaki lanjut usia apabila dihidangkan nasi lemak di hadapannya.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur yang saya dihidangkan dengan 'santapan Diraja' hari ini," kata lelaki itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Meriah meja! Keluarga pemandu treler hari-hari makan sedap... bukan kaya tapi bijak berbelanja, jimat sampai boleh beli emas

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa sedia bekal untuk anak setiap hari, tak sanggup tengok mereka lapar... cukuplah dulu catu makan! Duit ‘food emergency’ pun diberi

Walaupun begitu, lelaki tersebut terkejut apabila dimaklumkan bahawa nasi lemak sebenarnya adalah hidangan untuk golongan marhaen.

"Nasi lemak pada mulanya adalah makanan untuk mereka yang bekerja di ladang dan kebun," kata seorang individu dari sebalik tabir.

"Untuk peladang? Saya ingat ini (nasi lemak) adalah makanan untuk golongan raja dan pemerintah," balas lelaki itu terpinga mendapat tahu tentang perkara ini.

Kita ni di Malaysia kira mewah, paling-paling tiga kali sehari boleh makan. Kena sentiasa bersyukur.

WARGA MAYA

Antara komen lain yang menyuntik rasa kesyukuran apabila mereka sepakat berpendapat bahawa nasi lemak adalah satu makanan yang mewah.

"Saya makan nasi lemak ni boleh kenyang sampai tiga hari.

"Jika nasi lemak ini adalah sejenis sarapan pagi, ia adalah sangat berat dan saya akan mengambil masa untuk menghadamnya," kata warga Pakistan yang lain.

Video itu menyebabkan rata-rata warga maya sedar bahawa kita mengambil ringan apa yang dimiliki kerana sudah terlalu lama diulit kesenangan.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

"Kita makan nasi lemak setiap hari sampai rasa benda tu dah tak ada apa. Tapi untuk orang lain ternyata ia adalah satu nikmat yang tak terhingga.

"Kita ni di Malaysia kira mewah, paling-paling tiga kali sehari boleh makan. Kena sentiasa bersyukur walaupun mungkin kita rasa kurang sedap apa yang kita makan tu.

"Sebab tu aku pernah cakap dekat keluarga aku kalau nak komen pasal makanan, makan bagi habis dulu, nanti baru cakap. Jangan sesekali cakap buruk pasal makanan depan makanan.

"Pernah beli nasi putih kuah kari dan ayam goreng untuk pekerja Bangladesh yang datang baiki rumah, mereka tak makan sebab takut, katanya makanan orang kaya. Lepas makan, mereka salam tanpa henti sampai ke luar rumah," komen beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain