suria

Mentua asyik sindir, cari salah menantu perempuan... anak lelaki dimanja walau tak tunai tanggungjawab

Seorang wanita tampil memberikan nasihat 'padu' kepada ibu mentua yang sering mencari kesalahan menantu. Gambar sekadar hiasan

DIKURNIAKAN keluarga mentua dan ipar duai yang baik serta menerima diri seadanya, adalah salah satu impian para wanita.

Namun, tidak semua wanita bernasib baik dikurniakan rezeki sedemikian.

Sering kali kita membaca atau mendengar sendiri luahan kaum Hawa yang 'makan hati' dengan sikap mentua dan ipar duai, lebih-lebih lagi apabila berkumpul beramai-ramai sempena perayaan atau kenduri kendara.

Serba tidak kena jadinya apabila ada saja tingkah laku menantu perempuan yang menjadi kritikan atau sindiran keluarga mentua.

Memahami dilema yang dialami kebanyakan menantu perempuan, seorang wanita tampil memberikan nasihat padu buat golongan yang bergelar ibu mentua serta para suami untuk dihayati dan dijadikan pengajaran bersama.

MENANTU 2

Zaleha memberikan pandangannya dan teguran kepada ibu mentua yang sering mencari kesalahan menantu perempuan.

"Kita-kita yang ada anak lelaki, adik lelaki atau abang yang dah kahwin, tolonglah jangan asyik cari salah menantu, ipar-ipar kita.

"Kadang-kadang kena tengok balik kita punya anak, adik atau abang... apa perangai diaorang. Lebih-lebih lagi musim raya. Bila balik kampung, terus janji dengan kawan mengeteh, merayap pagi petang siang malam... balik rumah membuta.

"Yang bini tak tentu arah. Mana nak kendong anak, nanti tak masuk dapur, kena kutuk dek mak mentua, adik beradik ipar duai.

"Nak masuk dapur macam mana, anak dah boleh buat team besbol. Yang pegang kain sampai tercabut... (tapi) anak lelaki, abang, adik kita buat apa? Kamu biar anak kamu merayap satu hari, yang kamu kutuk itu menantu. Yang nampak elok, anak kita," bebel wanita yang dikenali sebagai Zaleha Baba di video yang dikongsikan di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun tinggal sebumbung, wanita terasa hati mentua suka hempas barang! Netizen ingatkan si suami patut beri nafkah tempat tinggal

ARTIKEL BERKAITAN: Nasib dapat suami sekeluarga pemalas... ibu mentua suruh masak juadah, adik-beradik ipar perempuan selamba tidur pagi raya

Tambahnya, mereka yang bergelar ibu mentua seharusnya mendidik anak lelaki masing-masing agar menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab, bukannya memanjakan mereka.

"Ajarkan anak kita yang jantan tu, balik rumah buat kerja rumah. Paling tidak, tolong jaga anak. Biar maknya senang nak ke dapur. Bukan merayap melepak dari pagi sampai malam.

MENANTU 1

Anak lelaki juga perlu dididik untuk membantu melakukan kerja rumah atau meringankan beban isteri. Gambar hiasan.

"Kesiankan bini tu, balik mak mentua, yang kena kutuk tu dia. Tolong ajarkan anak kita tu biar jadi anak jantan yang betul-betul elok. Itu belum lagi disuruh jadi imam, kalau disuruh agaknya masuk ICU terus," katanya lagi.

Namun apa yang lebih menarik, loghat wanita ini yang 'berleter' dalam slang Melaka pekat, membuatkan warga maya terhibur.

Sehingga kini video yang dikongsikan wanita tersebut meraih lebih daripada 117,000 jumlah tontonan.

Sepatutnya kita jadikan anak kita seorang lelaki dan suami yang betul-betul tahu apa itu taklik yang dibaca. Lima tanggungjawab terhadap isteri.

ZALEHA BABA

Ketika dihubungi mStar, Zaleha yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka berkata, video tersebut diilhamkan daripada kisah-kisah yang dikongsikan oleh pengikutnya.

"Sebenarnya semua content saya berdasarkan daripada cerita yang diluahkan oleh followers yang mana mereka tak berani nak bersuara secara nyata. Jadi, saya zahirkan dalam bentuk content, itu sahaja," ujar wanita berusia 47 tahun ini.

Zaleha yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata ini juga sama sekali tidak menyangka video berkenaan menjadi tular malah rata-rata warga maya turut bersetuju dengan pandangannya.

Malah mereka turut berterima kasih kepadanya kerana menjadi 'wakil' menyuarakan isi hati dan dilema yang dihadapi para menantu.

KOMEN MENANTU

Sebahagian komen netizen yang menyokong pandangan Zaleha.

"Point utama adalah kita, iaitu mak dan ayah. Sepatutnya kita jadikan anak kita seorang lelaki dan suami yang betul-betul tahu apa itu taklik yang dibaca. Lima tanggungjawab terhadap isteri.

"Jangan apabila lepas kahwin, letak semua atas bahu isteri. Itu dah salah. Daripada awal kita kena didik anak kita. Kena juga pastikan anak boleh hafal doa qunut, boleh jadi imam, bukannya jenis melepak... bukannya salahkan menantu kerana tak membantu.

"Kalau anak kita jalankan tanggungjawab dengan sempurna, insyaAllah rumah tangga tiada masalah," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain