suria

Waktu berbuka dah dekat, tak siapa peduli kucing jatuh longkang... mujur pasangan belum ada zuriat sudi tolong

Faridzuan dan isteri berjaya menyelamatkan seekor anak kucing jatuh longkang.

TIDAK semua manusia mempunyai perasaan cinta dan mahu berbuat baik kepada haiwan.

Tetapi tidak bagi pasangan ini yang sanggup memberhentikan motosikal mereka setelah terdengar 'jeritan' kucing di dalam sebuah longkang besar di jalan raya Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.

Detik cemas ini diceritakan semula oleh Faridzuan Jamaludin dan isteri, Zulaikha Mohtar yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari bazar Ramadan.

"Masa tu dah hampir waktu berbuka. Kami naik motor saja sebab bazar tu dekat dengan rumah.

"Mula-mula terdengar bunyi kucing macam tengah menjerit dekat longkang. Ramai orang lalu-lalang dekat situ tapi tak ada siapa pun cuba bantu. Mungkin sebab longkang tu dalam dan agak besar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mengaku cat lovers tapi tengok kucing jalanan nampak jijik, rasis sangat” - Si bulus pun jadi mangsa pilih kasih... jangan pandang yang bulu lebat je!

ARTIKEL BERKAITAN: Pantang jumpa mesti kutip! Ibu dedah perangai anak asyik bawa balik kucing jalanan, kini baru sedar dari dalam perut dah bagi banyak petunjuk

"Sebenarnya kami dah terlajak lintas kawasan tu tapi patah balik semata-mata nak cari bunyi tu. Tak sampai hati nak biarkan sebab hari pun dah nak hujan," katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut lelaki berusia 28 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah ini, kucing tersebut berkemungkinan sudah terperangkap lebih dua hari di dalam longkang besar itu apabila dilihat pada fizikalnya.

Walaupun bimbang dengan keselamatan diri sendiri kerana terdedah dengan risiko dan bahaya, atas rasa simpati terhadap si bulus, dia tetap memberanikan diri turun masuk ke longkang tersebut.

"Saya rasa mungkin dua hari dia dah ada dalam longkang tu sebab keadaan nampak sangat kurus dan ketakutan.

Faridzuan dan pasangan berjaya menyelamatkan kucing tersebut.

"Mula-mula nak turun tu agak takut sebab longkang tu tepi loji dan bendang. Risau bila tengok banyak lubang takut ada ular. Tapi sebab kasihankan 'dia' (kucing) saya turun juga. Masa saya turun tu 'dia' takut lari jauh, saya jalan perlahan-lahan pergi dekat 'dia'.

"Dia lari masuk celah lubang dekat longkang tu. Saya cuba pujuk dengan berikan sedikit roti John saya beli dekat bazar. Lama juga nak pujuk. Tapi akhirnya dia makan... lahap sangat. Mungkin kelaparan sangat walaupun dalam ketakutan. Dia tak marah saya pun, baik sangat," ujar Faridzuan.

Dia yang menetap di Sungai Dua berkata, sebaik berjaya menyelamatkan kucing berwarna putih tersebut barulah dia sedar tangannya bercalar-balar akibat bergesel dengan longkang.

Saya namakan dia Maya sebab manja dan tak bising langsung. Bila makin lama luangkan masa dengan dia, rasa sayang pula nak bagi dekat orang lain.

FARIDZUAN

Menurut Faridzuan, dia dan pasangannya sudah memiliki lebih 12 ekor kucing yang dipelihara di rumah justeru berhasrat mahu memberikan kucing tersebut kepada orang lain.

Namun, setelah diberikan rawatan dan grooming (dandanan), pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata ini mula jatuh hati kepada si comel tersebut yang diberi nama Maya.

"Mula-mula tu ingat nak selamatkan dia kemudian bagi pada orang lain yang nak pelihara. Sekarang ni saya tengah tanggung seekor kucing jalanan kena langgar lari jadi kos rawatan RM3,000 sebab tulang pinggul patah dan usus terkeluar.

"Sebulan juga dia duduk dekat klinik haiwan tapi lepas tu saya bawa balik rumah dan rawat sendiri saja. Saya ingat nak buat macam tu juga dekat Maya lepas dah mandikan dan bagi ubat cacing. Saya ada juga letak ubat kutu sebab nampak banyak sangat dalam bulu dia.

"Saya namakan dia Maya sebab manja dan tak bising langsung. Bila makin lama luangkan masa dengan dia, saya rasa sayang pula nak bagi dekat orang," ujarnya lagi yang sudah empat tahun berkahwin.

Maya merupakan seekor kucing yang manja.

Susulan video dikongsikan di TikTok yang meraih lebih 340,000 jumlah tontonan, Faridzuan yang merupakan Pengasas Pusat Rawatan Nur Zikir berasa terharu dengan respons netizen.

Malah, tiga sahabatnya turut menghulurkan sumbangan untuk menampung kos memelihara Maya.

"Saya tak sangka ramai yang tengok video tu. Semua mendoakan untuk dia, saya dan isteri. Nampak mereka sangat teruja tengok video tu.

"Setakat hari ni tak ada sumbangan apa-apa daripada netizen dan saya tak mengharapkan pun. Cuma ada kawan saya tiga orang transfer sorang RM10 untuk bagi pada si kecil tu beli ubat dan makanan.

"Yang tawar diri nak bela pun ada juga tapi nak bagi tu dah terasa sayang sebab dia manja dan baik," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain