suria

Pergi bazar, wanita tergoda popia sira sambal digoreng cantik, siap tabur bawang goreng... terkejut tengok intinya!

Inti yang diisi ke dalam popia kelihatan berwarna kehitaman kerana hangit.

HANYA indah di luaran.

Itulah ungkapan yang sesuai bagi menggambarkan keadaan kuih popia yang dibeli oleh seorang wanita di bazar Ramadan, baru-baru ini.

Menerusi video yang dikongsikannya di laman sosial, kelihatan empat biji kuih popia sira sambal yang dibelinya itu cantik dibungkus dalam pek jernih, siap ditabur bawang goreng.

Namun sebaik saja kuih tersebut dipotong dua, ternyata isi dalamannya tidak seindah yang disangka.

"Alkisah makanan bazar. Rupa luar menyelerakan. Sayang, dalamannya hangus," demikian kapsyen yang ditulis wanita tersebut pada perkongsiannya.

Mana tidaknya, dapat dilihat inti sayur-sayuran di dalam popia tersebut berwarna kehitaman kerana digoreng sehingga hangus.

popia 2

Dari luar kelihatan menyelerakan, namun wanita tersebut tidak menyangka dirinya 'tertipu' dengan rupa popia berkenaan.

Perkongsian tersebut meraih perhatian warga maya yang turut bersimpati dengan wanita berkenaan.

Malah mereka turut melahirkan rasa hairan bagaimana inti popia tersebut sahaja yang hangus sedangkan kulitnya kelihatan berwarna kuning keemasan seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan ‘tundukkan’ peniaga bazar jual air soya mahal! Esoknya terus turun harga, mungkin terkesan dengan rungutan

ARTIKEL BERKAITAN: Makin ramai peniaga bazar nak cepat kaya... nasi ayam berempah RM15, beli pula samosa dan murtabak ‘sedih’ betul rasanya!

Di ruangan komen, wanita tersebut juga berkata dia sendiri 'tertipu' apabila melihat luaran popia itu sehingga tergoda untuk membelinya.

"Sebab di luar tak rentung pula kalau nak kata terlebih goreng," komennya.

Kebanyakan netizen berpendapat, berkemungkinan inti yang digunakan tersebut adalah inti yang tidak habis dijual dan digoreng lagi sekali, menjadikannya terlebih masak hingga hangus.

Nak berniaga tu ikhlas la sikit. Tak kisahlah harga naik sikit tapi pastikan berbaloilah.

NETIZEN

Bagaimanapun, wanita tersebut tidak menyatakan nama gerai atau lokasi bazar Ramadan yang dikunjunginya itu.

Sehingga kini, videonya meraih melebihi 713,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Menjengah ruangan komen, rata-ratanya turut meluahkan rasa kecewa kerana pernah merasai pengalaman buruk ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

"Samalah... saya baru kena semalam dapat dua ketul dalamnya hangus.

"Semalam beli air naga RM4. Sekali sedut, basi!

komen popia

Warga maya turut berkongsi pengalaman buruk ketika membeli makanan di bazar Ramadan.

"Saya beli lemang, dapat mentah. Balik rumah nak makan mentah. Dah la beli mahal, campur dengan rendang RM26 tapi tak boleh makan.

"Entahlah, tahun ini hambar betul bazar. Nak berniaga tu ikhlas la sikit. Tak kisahlah harga naik sikit tapi pastikan berbaloilah," demikian antara komen netizen.

Dalam masa yang sama, mereka turut mencadangkan wanita tersebut membuat aduan kepada peniaga berkenaan supaya dapat memperbaiki mutu makanan yang dijual agar perkara yang sama tidak lagi berulang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain