suria

Pelanggan ‘tundukkan’ peniaga bazar jual air soya mahal! Esoknya terus turun harga, mungkin terkesan dengan rungutan

Khairul membandingkan harga sebungkus air soya di bazar Ramadan dengan dan air soya kotak di pasar raya.

ISU kenaikan harga makanan di bazar Ramadan menjadi topik hangat dibincangkan di media sosial.

Antara alasan paling biasa didengar, peniaga terpaksa menaikkan harga jualan makanan dan minuman kerana kos bahan mentah juga meningkat.

Bagaimanapun, ada juga peniaga yang mengambil langkah mengekalkan harga tetapi mengurangkan kuantiti atau mengecilkan saiz makanan yang dijual.

Seorang pelanggan, Khairul Azri menceritakan pengalamannya berkunjung ke sebuah bazar Ramadan yang tidak dinyatakan lokasi untuk membeli minuman.

Khairul berkata, dia bagaimanapun membatalkan keinginan untuk membeli air soya yang dianggap mahal apabila dijual pada harga RM6 sebungkus.

Selepas meninggalkan bazar, dia singgah ke sebuah pasar raya untuk membeli air yang sama tetapi pada harga hampir tiga kali ganda lebih murah.

Bazar Ramadan merupakan tempat orang ramai membeli juadah berbuka puasa. - Gambar hiasan

Dalam satu ciapan yang dibuat, Khairul menunjukkan gambar sekotak air soya yang dibeli dalam kuantiti 1 liter.

"Singgah bazar sebab teringin nak beli air soya. Tengok sebungkus sampai RM6, ais pun dah cair.

"Masuk balik kereta singgah sebuah pasar raya, seliter RM2.09, ais sebungkus besar RM1.50.

"Dijamin sedap, selamat dan berlogo halal," katanya dalam ciapan tersebut.

Setelah ciapan yang dibuat,mendapat perhatian ramai, peniaga tersebut bertindak menurunkan harga air soya yang dijual kepada RM4.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi bazar! Apa yang pelanggan lakukan buat peniaga air balang terharu, “Yang patahnya meja, tapi semangat saya tak patah”

ARTIKEL BERKAITAN: Jual air balang pun 'bergelut', paling sedih laksa sedap ibu langsung tak terusik, “Saya tak tahu apa yang kurang”

Perkara itu dikongsikan oleh Khairul menerusi satu lagi hantaran pada hari berikutnya yang mana dia menganggap peniaga tersebut berkemungkinan terkesan dengan 'tweet'nya.

"Ha... boleh je pun sebenarnya. Beli tiga bungkus, satu untuk kita, dua lagi sedekah pak jaga (security guard) taman (perumahan) dan jiran.

"Rugilah bang... banding semalam konon nak jimat RM6 hari ni keluar sampai RM12.

"Bukan harga dalam RM (ringgit Malaysia) tu yang menjadi isunya tapi nilai sikap penjual yang expect pembeli kena telan harga tak masuk akal itu yang menjadi kebencian," katanya lagi.

Dalam pada itu dia turut memberikan cadangan agar pelanggan sentiasa memberikan sokongan kepada peniaga sekiranya makanan atau minuman dijual pada harga berpatutan.

Puasa tahun ni entahlah, bazar memang tiada dalam senarai.

NETIZEN

Jika diteliti di ruangan komen, ada netizen menyatakan harga tersebut berbeza disebabkan cara pembuatan air soya tersebut.

"Air soya di bazar tu dibuat dalam skala kecil dan segar. Siapa yang biasa buat air soya homemade tahu la prosesnya (basuh, rendam, rebus, tapis kulit, kisar dan tapis lagi).

"Air kotak ni dibuat dari kilang dan ditambah ada emulsifier, food conditioner yang ada beberapa orang tak suka ambil (minum)," ujar seorang pelayar membalas ciapan asal.

Bagaimanapun, rata-rata netizen dilihat meluahkan mengenai isu harga makanan di bazar yang dianggap semakin 'melampau'.

"Puasa tahun ni entahlah, bazar memang tiada dalam senarai. Langsung tak teringin nak masuk sebab tahu harga makin merapu dan rasa yang tak berapa memuaskan.

Tangkap layar komen netizen di Twitter.

"Bazar sekarang dah macam food festival. Mahal gila. Murtabak RM6, roti john RM8, air soya RM6. Semua naik RM2 hingga RM4. Kalau sedap, tak apa la juga.

"Lama dah aku praktik beli air dalam kotak sejak air bungkus naik harga sampai RM3. Bukan tak nak sokong peniaga bumi tapi dah peniaga sendiri tak jaga mutu jualan," demikian antara komen netizen.

Sebagai pelanggan yang bijak, kita harus tahu menilai dan memilih makanan ketika berbelanja di bulan puasa.

Tambahan pula, dalam bulan Ramadan mulia ini kita haruslah lebih memberi fokus pada amalan ibadah kita terlebih dahulu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain